Pelakon Song Joong Ki meluahkan rasa sedih apabila timbul pelbagai khabar angin tentang isterinya iaitu Katy Louise Saunders sejak mereka bergelar suami isteri.
Joong Ki berkata, terdapat segelintir pihak wartawan cuba mencipta khabar angin tentang Katy dengan menyebarkan pelbagai cerita fantasi seolah-olah menulis novel, kongsi mStar.
Kata pelakon drama Reborn Rich itu, dia berasa sakit hati dengan perkara itu dan meminta ia dihentikan segera.
“Ada segelintir wartawan menulis ‘novel’ tentang isteri saya dan perkara itu membuatkan saya terluka.
“Perbuatan ini jelas tidak bertanggungjawab dan seolah-olah cuba memburukkan Katy yang langsung tidak bersalah,” katanya.
Apa lebih menyedihkan kata Joong Ki, kisah tidak benar mengenai dia dan isteri tersebar sehingga ke media di United Kingdom (UK).
Akibat perkara itu, Joong Ki berkata, Katy terpaksa memendam rasa disebabkan hal berkaitan peribadinya menjadi tumpuan dunia.
“Bayangkan betapa sakitnya hati Katy apabila perkara ini berlaku. Dia juga ada beritahu
berita mengenainya turut tersebar di UK.
“Dia tidak biasa dengan perhatian diberikan apatah lagi apabila timbul pelbagai dakwaan tidak benar tentang kami,” jelasnya. – Agensi