Saturday, February 1, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Joran Pancing: Kenali jenis bahan dan kelebihannya

    Oleh Raz AS – 

    Joran pancing adalah salah satu peralatan utama dalam dunia memancing. Pemilihan joran yang tepat sangat bergantung pada bahan pembuatannya, kerana setiap bahan memiliki ciri khas yang mempengaruhi kekuatan, fleksibiliti dan kesensitifannya terhadap ‘patukan’ ikan.

    Joran-joran pancing yang boleh didapati di pasaran selalunya diperbuat daripada beberapa jenis bahan utama yang masing-masingnya mempunyai kelebihan dan kelemahannya tersendiri.

    Joran yang diperbuat daripada gentian kaca atau fiberglass sangat popular dalam kalangan pemancing pemula dan pemancing-pemancing yang memerlukan joran yang tahan lasak, yang tidak perlu begitu dimanjakan.

    Selain daripada sangat tahan lasak dan sukar patah, joran yang diperbuat daripada gentian kaca selalunya jauh lebih murah berbanding daripada joran-joran yang diperbuat daripada bahan lain. Joran ini sangat sesuai digunakan untuk gaya pancingan yang kasar seperti menunda atau pancingan dasar dan untuk menumbangkan ikan-ikan bersaiz besar.

    Meski joran ini lebih ‘tahan pukul’ berbanding yang lain, joran kaca gentian juga lebih berat dan kurang sensitif serta kurang fleksibel. Walau bagaimanapun, ia tetap menjadi pilihan utama bagi mereka yang kurang serius terhadap hobi memancing atau bagi mereka yang enggan mengeluarkan kos banyak.

    Joran pancing adalah salah satu peralatan utama dalam dunia memancing. Pemilihan joran yang tepat sangat bergantung pada bahan pembuatannya. – GAMBAR OLEH FISHING BOOKER

    Sementara itu bagi kalangan pemancing yang mencari joran yang mempunyai tahap kesensitifan tinggi dan prestasi yang lebih baik, joran yang diperbuat daripada grafit adalah pilihan popular.

    Joran grafit sangat ringan dan mudah dikendalikan, selain itu ia juga sangat sensitif terhadap gigitan ikan serta memiliki daya lontaran yang lebih baik. Oleh yang demikian joran ini selalu menjadi pilihan utama bagi peminat-peminat aktiviti casting atau menggunakan umpan tiruan.

    Walaupun begitu, di sebalik kelebihan-kelebihan tersebut joran ini juga mempunyai kelemahannya tersendiri. Selain daripada harganya yang jauh lebih mahal berbanding joran kaca gentian, batang joran grafit lebih mudah pecah atau patah, terutama sekali jika terhentak. Oleh itu ia memerlukan penjagaan yang teliti bagi menghindarkannya daripada rosak dan tidak sesuai digunakan dalam keadaan ekstrem.

    Selain daripada joran yang diperbuat daripada dua bahan yang berbeza tadi, sesetengah joran menggabungkan kelebihan kaca gentian dan grafit untuk memberikan keseimbangan antara kekuatan dan kesensitifan. Joran ini diperbuat daripada bahan komposit iaitu gabungan kaca gentian dengan grafit.

    Joran komposit memiliki kelebihan dari dua dunia, di mana ia lebih fleksibel berbanding joran kaca gentian, lebih tahan lasak berbanding joran grafit tulen, serta memberikan keseimbangan antara berat, kekuatan dan kesensitifan.

    Harga joran komposit lebih mahal berbanding joran yang diperbuat daripada kaca gentian dan lebih murah berbanding joran grafit, meskipun begitu, joran ini tidak sekuat joran kaca gentian dalam menghadapi hentakan kuat, manakala tahap kesensitifannya pula tidak setinggi dengan joran grafit.

    Pemilihan joran pancing yang terbaik bergantung pada keperluan dan gaya memancing seseorang. Jika mencari ketahanan, joran kaca gentian adalah pilihan terbaik. Jika mahukan tahap kesensitifan yang tinggi, grafit adalah pilihan yang tepat. Sementara joran komposit pula menawarkan keseimbangan antara keduanya.

    Dengan memahami kelebihan dan kelemahan setiap bahan, pemancing dapat membuat keputusan yang lebih bijak dalam memilih joran pancing yang sesuai untuk penggunaan masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda