AMMAN, 10 NOV – Jordan menghantar satu lagi konvoi bantuan kemanusiaan ke Syria kelmarin sebagai sebahagian daripada usaha berterusan negara itu membantu rakyat Syria menghadapi keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing, menurut pegawai tempatan.
Penghantaran itu dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Hasyimiah Jordan (JHCO) dengan kerjasama Kementerian Luar dan Angkatan Tentera Jordan, menurut kenyataan JHCO.
Konvoi itu terdiri daripada 16 buah trak yang membawa unit perumahan pasang siap, bekalan perubatan dan ubat-ubatan. Bantuan itu dihantar dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa Syria bagi menangani keperluan kemanusiaan dan kesihatan mendesak di kawasan terjejas, menurut kenyataan itu.
JHCO turut memaklumkan bahawa Jordan sebelum ini bersama Qatar telah menghantar konvoi bantuan bersama ke Syria pada September sebagai sebahagian daripada inisiatif Arab yang lebih luas untuk membantu negara itu pulih daripada ketegangan yang berlaku di Sweida baru-baru ini. – Bernama


