Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jorgenson pertahan gelaran Paris-Nice

    NICE, 18 MAC – Juara bertahan Matteo Jorgenson memenangi perlumbaan Paris-Nice yang berlangsung selama lapan hari kelmarin, melintasi garisan penamat di Pantai Perancis di tempat kedua manakala seorang lagi rakyat Amerika, Magnus Sheffield, memenangi peringkat tersebut selepas melakukan serangan solo.

    Jorgenson dari pasukan Visma memulakan perlumbaan pada Ahad lalu sebagai ketua bersama pasukannya dengan pemenang dua kali Tour de France, Jonas Vingegaard terpaksa menarik diri di pertengahan perlumbaan akibat kecederaan tangan.

    “Keadaan amat tertekan sepanjang minggu, tetapi saya berjaya,” kata Jorgenson yang kini menetap di Nice.

    “Kami tahu ia akan menjadi sukar dan memenatkan. Tetapi semua orang bekerja keras.

    Saya gembira berada di pasukan ini dan saya memenangi perlumbaan ini dua tahun berturut-turut.”

    Jorgenson dan Sheffield telah berlumba bersama sejak peringkat remaja.

    “Saya gembira melihat dia menang, saya akan cuba mengejarnya nanti,” kata Jorgenson mengenai Sheffield.

    Rakan sepasukan Jorgenson tidak dapat menyembunyikan kegembiraan mereka melihat warga California itu meraih kemenangan.

    “Matteo secara semula jadi menonjol sebagai pemimpin, kerana dia mungkin yang paling komited antara semua,” kata rakan sepasukannya dari Perancis, Axel Zingle.

    “Dia seorang perfectionist. Dia merancang dengan teliti. Amat bermotivasi untuk berkembang maju dengan pemimpin seperti itu. Kami benar-benar mahu melakukan segala-galanya untuk menyokongnya sebaik mungkin.”

    Vingegaard telah menjadi pemimpin yang tidak dipertikaikan di Visma untuk Tour de France selama tiga tahun yang lalu dan Jorgenson tidak menjangkakan untuk menggantikan tempat pelumba Denmark itu. – AFP

    Matteo Jorgenson meraikan kemenangan di podium dengan memakai jersi kuning selepas menjuarai kejohanan, pada 16 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda