LONDON, 28 SEPT – Ketika dia mempersiapkan diri dalam perlawanan Liga Juara-Juara antara Chelsea dan Juventus pada hari rabu, pemain tengah Itali, Jorginho dapat merenung kembali semasa dia berjaya mendiamkan pengkritiknya.
Jorginho akan membuat penampilan ke-150 untuk Chelsea jika dia bermain dalam perlawanan kumpulan H di Turin. Dia tidak dihargai sewaktu di England selama beberapa bulan, namun Jorginho muncul menjadi pemain harapan Chelsea dan Itali selepas memenangi Liga Juara-Juara dan Euro 2020 dalam masa beberapa minggu.
Pemain yang berusia 29 tahun itu dinamakan pemain lelaki UEFA bagi tahun 2020/21 dan telah dicalonkan sebagai calon anugerah berprestij Ballon d’Or.
Ini merupakan kebangkitan yang menakjubkan bagi pemain yang menjadi musuh utama bagi peminat Chelsea selepas musim pertama yang teruk dengan kelab Liga Perdana Inggeris tersebut.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang tidak percaya kepada saya, yang mengkritik saya. Mereka telah memberikan dorongan kepada saya. Mereka mendorong saya untuk bekerja dengan lebih keras untuk membuktikan mereka salah,” kata Jorginho kepada UEFA.com.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang berada di sisi saya – keluarga, sahabat, ejen saya, rakan sepasukan, pelatih, ahli fisio.”
Dalam kempen pertamanya bersama Chelsea, dia sering disalahkan oleh peminat atas permainan pasukannya yang kurang memuaskan semasa berada di kendalian Sarri.
Sarri membelanjakan 50 juta pound untuk membawa pemain tengah Itali tersebut bersamanya dari Napoli meskipun Manchester City berminat kepadanya.
‘Sarri-ball’ – falsafah berdasarkan penguasaan – gagal untuk diterapkan dari Serie A ke persekitaran EPL.
Dan tabiat Jorginho yang sering memberi hantaran ke sisi dan ke belakang untuk memastikan Chelsea memegang bola membuat peminat merasa berang yang menginginkan pendekatan yang menyerang.
Tidak disukai oleh peminat dan juga pemainnya, Sarri akhirnya mengundurkan diri pada musim akhir dia bertugas.
Kempen tersebut diakhiri dengan Jorginho membantu Chelsea meme-nangi liga Eropah, tetapi pengganti Sarri, Frank Lampard masih tidak berpuas hati dengan pemain tengah tersebut. – AFP