MANCHESTER, 2 April – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho secara terbuka mengkritik empat daripada pemain bintang United selepas satu lagi perlawanan liga mengecewakan di Old Trafford yang berakhir dengan seri 0-0 dengan West Bromwich Albion.
Pasukan Mourinho kini sudah seri lapan perlawanan di gelanggang sendiri musim ini, dan dalam tujuh perlawanan itu mereka merupakan pasukan yang lebih dominan, namun gagal menterjemahkan penguasaan dan peluang mereka menjadi gol.
Kekecewaan terbaru itu menyaksikan United menikmati penguasaan bola sebanyak 75 peratus menentang Albion, namun gagal mengakhiri rentetan seri di gelanggang sendiri yang meninggalkan mereka dengan tugasan berat jika mereka mahu mengakhiri musim di kedudukan empat teratas Liga Perdana.

Dan Marcus Rashford, Jesse Lingard, Henrikh Mkhitaryan dan Anthony Martial mendapati diri mereka dikritik secara terbuka oleh Mourinho ketika pasukan United tanpa enam pemain utama kerana cedera dan penggantungan.
“Ini adalah deja vu sepanjang musim,” kata Mourinho. “Kami tidak konsisten. Kami terlepas peluang mudah.
“Kami perlu menewaskan pasukan lain. Jika anda lihat jumlah gol yang kami jaringkan berbanding penguasaan kami, ia adalah satu perbezaan yang besar.” – AFP