Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Joshua ambil langkah ‘munasabah’

    LONDON, 24 OGOS – Anthony Joshua (gambar) berkata dia akan menggunakan akal berbanding kekuatan untuk mempertahankan kejuaraan Persatuan Tinju Dunia, Persekutuan Tinju Antarabangsa dan kejuaraan heavyweight Pertubuhan Tinju Dunia menentang Oleksandr Usyk.

    Petinju dari Britain berusia 31 tahun itu bakal menjejakkan kaki di gelanggang menentang bekas juara cruiserweight dunia dari Ukraine di Stadium Tottenham Hotspur di London pada 25 September.

    Joshua memberitahu Sky Sports menambah berat bagi perlawanan tersebut tidak masuk akal.

    “Saya cuba menurunkan berat badan bagi pertarungan itu,” katanya.

    “Saya akan bertemu dengan petinju yang mampu bertarung 12 pusingan jadi tidak masuk akal untuk menambah berat dengan otot saya tetapi memerlukan oksigen.

    “Saya belajar bagaimana meng-uruskan badan saya mengikut lawan khusus. Saya menjalani latihan perta-rungan 15 pusingan.

    “Apa yang berlaku apabila saya berlatih seperti itu? Badan saya dapat menyesuaikan diri dan menjadikannya seperti semula jadi.”

    Joshua yang mempunyai rekod 24 kemenangan dan sekali tewas serta 22 KO, mendakwa dia kini lebih menumpukan untuk menyesuaikan langkah jalanan untuk bertarung dengan Usyk (18-0, 13KO), yang hanya bertarung sebanyak dua kali sejak melangkah ke divisyen heavyweight.

    “Saya mengasah minda untuk menumpukan pertarungan bagi 12 pusingan,” kata Joshua.

    “Bertarung menggunakan akal. Mengetahui apa yang berada di hadapan anda dan bagaimana untuk menanganinya.

    “Anda akan bertindak sama ada agresif, memaksanya berdiri di penjuru gelanggang, melakukan segalanya atau cuba bertenang, bertindak lebih bijak dan kemudian cuba menewaskannya.”

    Pertarungan menentang Usyk menggantikan pertarungan kejuaraan yang telah lama dinantikan menentang rakan senegara dari Britain, Tyson Fury. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda