LIVERPOOL, 14 JULAI – Diogo Jota disanjung sebagai ‘seorang juara’ kelmarin oleh pengurus Liverpool, Arne Slot, ketika pasukannya kembali beraksi buat pertama kali sejak kematian pemain Portugal itu dengan kemenangan 3-1 ke atas Preston dalam perlawanan persahabatan pramusim.
Jota, bapa kepada tiga anak, meninggal dunia bersama adiknya, Andre Silva, pada 3 Julai – 11 hari selepas berkahwin dengan pasangan lamanya, Rute Cardoso – selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan terbakar di utara Sepanyol.
Sebelum sepak mula di Deepdale, lagu ikonik Liverpool You’ll Never Walk Alone dimainkan, dan kapten Preston, Ben Whiteman, meletakkan kalungan bunga di hadapan penyokong pelawat sebagai penghormatan. Semua orang bertafakur selama satu minit dan kedua-dua pasukan memakai lilitan lengan warna hitam.
“Saya rasa apa yang memberi sedikit ketenangan adalah, dalam bulan terakhir hidupnya, dia adalah seorang juara dalam segala hal,” kata Slot dalam satu temu bual sebelum perlawanan.
“Seorang juara untuk keluarganya, yang merupakan perkara utama dan paling penting, kerana dia baru sahaja berkahwin.
“Seorang juara untuk negaranya kerana dia memenangi Liga Negara-negara bersama Portugal, negara yang amat dekat di hatinya, dan dia membawa bendera negara ketika kami meraikan kemenangan.
“Dan sudah tentu, seorang juara buat kami dengan menjuarai Liga Perdana Inggeris.” – AFP
