Saturday, October 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    JOTA-JOTI 2024 dirasmikan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Penganjuran Jambori di Udara (JOTA) dan Jambori di Internet (JOTI) bermatlamat untuk memberikan peluang kepada ahli-ahli pengakap yang berminat di negara ini untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan di seluruh dunia dengan tujuan mengeratkan silaturahim dan berkongsi pengalaman dengan pengakap berbilang bangsa dan kebudayaan di luar negara.

    Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Kelab Radio Amatur Pengakap, Skipper Haji Abdul Jamal bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya di perasmian JOTA-JOTI 2004 yang berlangsung di Bilik Persidangan, Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) hari ini.

    Hadir menyempurnakan perasmian kegiatan JOTA-JOTI 2024 di peringkat Negara Brunei Darussalam ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas.

    Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Skipper Haji Abdul Jamal berkata PPNBD dan Persekutuan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA) sedang melakukan perancangan strategik untuk membuat memorandum persefahaman bagi mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada dalam perhubungan radio amatur melalui latihan dan kursus untuk ahli-ahli pengakap mendapatkan lesen amatur radio yang dihasratkan sebagai pelapis kepada ahli amatur radio yang ada pada masa ini.

    Kelab Radio Amatur PPNBD bersama rakan strategiknya BDARA sekali lagi bersama-sama ahli pengakap di seluruh dunia menyertai JOTA ke-67 dan JOTI ke-28 yang terbesar peringkat dunia.

    Dato Paduka Ar Haji Idris menyempurnakan perasmian JOTA-JOTI 2024 di peringkat Negara Brunei Darussalam. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Skipper Haji Abdul Jamal menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Acara berkenaan berlangsung secara serentak di seluruh dunia dari 18 hingga 20 Oktober di mana ia merupakan kegiatan digital dan radio pengakap terbesar di dunia. Acara itu mengumpulkan lebih dua juta pengakap setiap tahun pada minggu ketiga Oktober bagi pengakap berhubung melalui udara dan melalui platform digital.

    Keunikan jambori berkenaan adalah setiap ahli pengakap yang menyertainya dapat berhubung di antara satu sama lain dengan ahli-ahli pengakap di seluruh dunia dengan menggunakan peralatan radio amatur yang berfrekuensi tinggi (HF) dan Very High Frequency (VHF) serta melalui platform khas atas talian yang dikhaskan untuk kegiatan berkenaan.

    Ahli-ahli yang hadir jua berjaya membuat sidang video melalui aplikasi Skype bersama pengakap-pengakap dari rantau Asia Pasifik.

    PPNBD telah membuka stesen radio amatur di Daerah Brunei dan Muara iaitu di bangunan ibu pejabat persekutuan dengan menggunakan tanda panggilan V84CBS. Ahli-ahli pengakap yang hadir dapat berhubung dengan negara-negara berdekatan yang juga menyertai acara JOTA-JOTI 2024.

    Melalui kegiatan seumpama itu, ahli-ahli pengakap lebih berkeyakinan untuk berhubung dengan rakan-rakan pengakap yang tidak kenali yang berada beribu kilometer dari Brunei serta dapat mengetahui betapa penting peralatan komunikasi boleh mempengaruhi kehidupan masa kini dalam arus teknologi yang serba maju dan canggih.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda