JOTA, JOTI hubungkan pengakap seluruh dunia

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh PPNBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Kelab Radio Amatur sekali lagi tidak ketinggalan, bersama-sama ahli pengakap di seluruh dunia menyertai jambori pengakap yang terbesar peringkat dunia iaitu Jambori di Udara (JOTA) ke-62 dan Jambori di Internet (JOTI) ke-23 pada 19 hingga 20 Oktober.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, di sini, hari ini, jambori selama dua hari itu, disertai oleh lebih 150 orang ahli pengakap terdiri daripada ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja, Pengakap Kelana, Pengakap Udara dan Pengakap Laut.

Kegiatan JOTA dan JOTI dijalankan pada setiap hujung minggu ketiga Oktober dan keunikan jambori itu adalah setiap ahli pengakap yang menyertainya telah dapat berhubung antara satu sama lain dengan ahli-ahli pengakap di seluruh dunia dengan menggunakan peralatan radio amatur yang berfrekuensi tinggi iaitu ‘High Frequency’ (HF) dan ‘Very High Frequency’ (VHF) serta melalui talian sembang di Internet yang dikhaskan untuk kegiatan berkenaan juga berjaya membuat sidang video melalui Skype.

Bagi 2019, PPNBD telah membuka dua buah stesen radio amatur iaitu di Bilik Persidangan, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD di Kompleks Pengakap, Jalan Gadong dengan menggunakan tanda panggilan V84CBS dan disertai oleh ahli pengakap dari Daerah Brunei dan Muara serta dari Daerah Temburong.

Manakala stesen di Daerah Tutong pula bertempat di Ibu Pejabat Persatuan Pengakap Daerah Tutong menggunakan tanda panggilan V84CDT dan disertai oleh ahli-ahli pengakap dari Daerah Tutong dan Daerah Belait.

Hadir bagi majlis perasmian kegiatan itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Matassim bin Haji Duraman, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pegawai pengakap, pemimpin-pemimpin pasukan pengakap, penolong pemimpin pasukan pengakap serta ahli-ahli pengakap.

Semasa acara itu, Haji Matassim telah berkesempatan untuk berhubung melalui radio ham dengan ahli pengakap di Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu, Sabah dan juga melalui sidang video melalui aplikasi Skype dengan ahli pengakap yang sedang mengikuti Perkhemahan Jambori JOTA dan JOTI di Semenyih, Negeri Selangor, Malaysia.

Melalui aktiviti seumpama itu, ahli-ahli pengakap lebih berkeyakinan untuk berhubung dengan rakan-rakan pengakap yang berada beribu-ribu kilometer dari Brunei Darussalam serta dapat mengetahui betapa penting peralatan komunikasi boleh mempengaruhi kehidupan masa kini dalam arus teknologi yang serba maju dan canggih.

Ahli Pengakap Tunas sedang menghubungi rakan pengakap dari Sabah.
Ahli pengakap menghubungi rakan pengakap dari luar negara menggunakan talian Internet.