LONDON, 1 NOV – Diogo Jota membuat kemunculan dramatik buat Liverpool untuk bangkit selepas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) menewaskan West Ham 2-1 untuk meraih tiga mata di hadapan untuk berada di puncak liga.
Pasukan Jurgen Klopp tersentap dengan jaringan awal minit menerusi Pablo Fornals di Anfield selepas pemain tengah West Ham itu menghukum tandukan kurang kemas dari Joe Gomez pada minit ke-10.
The Reds kemudian berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-42 apabila Mohamed Salah dikasari oleh Arthur Masuaku dan pemain Mesir itu dengan tenang menyudahkan sepakan penalti, gol peribadi kelapan pemain tersebut setakat musim ini. Liverpool kemudian merasakan mereka telah mendahului perlawanan dengan permainan berbaki 10 minit apabila pemain gantian Jota menyudahkan bola muntah. Jota menyambut bola selepas Lukasz Fabianski menyelamatkan bola percubaan Sadio Mane tetapi selepas penundaan yang lama di mana pengadil Kevin Friend terpaksa memeriksa keputusan menerusi rakaman di tepi padang, keputusan gol dibatalkan kerana kekasaran yang dilakukan oleh pemain sayap Senegal.
Dengan Liverpool kesuntukan masa, Jota memastikan dirinya menamatkan perlawanan selaku wira Liverpool. Pada minit ke-85, penyerang Portugal membuat larian selepas Xherden Shaqiri melakukan hantaran dan kemudian Jota berjaya meledak gol. Jaringan tersebut merupakan gol ketiganya musim ini selepas menyertai kelab dari Wolves pada September lalu. Kemenangan tersebut merupakan kemenangan keempat berturut-turut Liverpool sejak pemain pertahanan berpengaruh mereka, Virgil Van Dijk diketepikan akibat kecederaan lutut yang serius selama beberapa bulan yang dialaminya sewaktu bertemu Everton. – AFP
