Wednesday, February 12, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jotham Napat dilantik PM baharu Vanuatu

    SUVA, 11 FEB – Presiden Parti Pemimpin Vanuatu, Jotham Napat, dilantik sebagai Perdana Menteri baharu negara itu hari ini, lapor Xinhua.

    Menurut Vanuatu Broadcasting and Television Corporation (VBTC), Napat dipilih melalui undian sulit dalam parlimen di Port Vila, ibu negara Vanuatu.

    Sebagai satu-satunya calon dalam pemilihan itu, Napat menerima 50 undi sokongan daripada keseluruhan 52 kerusi parlimen, manakala dua undi lagi terbatal.

    Dalam ucapan selepas pelantikannya, Napat menyampaikan penghargaan atas sokongan yang diterima dan menekankan cabaran yang bakal dihadapi, khususnya usaha pembinaan semula negara selepas kejadian gempa bumi baru-baru ini.

    Parti Pemimpin memperoleh sembilan kerusi, jumlah tertinggi dalam parlimen, selepas pilihan raya awal pada 16 Januari.

    Napat akan menerajui kerajaan gabungan yang terdiri daripada lima parti politik iaitu Parti Pemimpin, Parti Vanua’aku, Parti Graon Mo Jastis, Pergerakan Penyatuan untuk Perubahan dan Kumpulan Iauko.

    Kemudian hari ini, beliau melantik Johnny Koanapo Rasou sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang juga akan berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dan Pengurusan Ekonomi, menurut laporan VBTC. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda