Sunday, May 4, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Joyful Garden jadi tarikan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Dalam usaha untuk memperbanyakkan lagi destinasi menarik di negara ini, seorang dermawan tempatan telah memperkenalkan sebuah taman yang dinamakan sebagai Joyful Garden di kawasan kediamannya di No. 40, Simpang 214, Kampung Subok.

    Menurut pemiliknya, Wilson Lim, taman tersebut menjadi tarikan para pengunjung kerana ia dihiasi dengan barang-barang tradisional China yang seolah-olah membawa para pengunjung seperti berada di China.

    Selain itu, para pengunjung yang melawat taman tersebut juga berpeluang untuk mengikuti senaman ‘Guolin Qigong’ yang akan diadakan setiap Hari Rabu, Jumaat dan Ahad selama satu jam dan akan diketuai sendiri oleh Wilson Lim.

    “Ini adalah cara saya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan penduduk kampung di sini dengan menyediakan tempat untuk bersantai, berehat, menikmati suasana yang tenang dengan bunyi air tasik yang mengalir sambil melihat barang-barang tradisional yang saya bawakan dari China,” jelas Lim.

    Menurut beliau, senaman Qigong itu diadakan bertujuan bagi meningkatkan tahap kesihatan seseorang terutama sekali kepada mereka yang menghidapi penyakit kanser.

    Wilson Lim dan Haji Suhaimi ketika ditemui Media Permata.

    “Saya menyedari bahawa senaman Qigong ini amat berguna terutama sekali bagi mereka yang menghidapi kanser. Salah seorang pesakit kanser tahap keempat telah beransur pulih daripada penyakitnya setelah aktif menjalani senaman tersebut,” kongsi Wilson Lim yang telah kehilangan isterinya kerana kanser.

    “Sejak tempat ini dibukakan kepada orang ramai beberapa bulan yang lalu, saya telah menerima lebih daripada 1,000 pelawat dan juga mereka yang mempunyai masalah kesihatan,” tambahnya.

    Selain itu, menurut beliau, taman tersebut juga menjadi tarikan para pengantin baharu untuk mengadakan sesi fotografi yang sememangnya sangat bersesuaian dengan suasana di taman itu.

    Lim yang merupakan pemilik kedai perkakas Chop Kim San juga menjelaskan bahawa semua aktiviti atau sesiapa sahaja yang mengunjungi taman tersebut tidak akan dikenakan sebarang bayaran.

    Malah, inisiatif Wilson Lim itu turut disambut baik oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Subok, di mana Setiausaha MPK Subok, Haji Suhaimi bin Haji Japar berharap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan khususnya Lembaga Pelancongan Brunei dapat mengambil peluang ini untuk menjadikan taman tersebut sebagai salah satu destinasi pelancongan di negara ini.

    Sehubungan itu, satu majlis pembukaan semula taman tersebut dijangka akan diadakan pada 23 Disember depan.

    Lim juga ingin menekankan kepada mereka yang berminat untuk mengunjungi Joyful Garden agar menjaga kebersihan ketika berada di sana dan tidak dibenarkan untuk membawa makanan di tempat berkenaan.

    Bagi rombongan yang membawa jumlah yang ramai, mereka digalakkan untuk menghubungi pemilik taman tersebut terlebih dahulu untuk menempah hari dan waktu agar mengelakkan jumlah pengunjung yang terlalu ramai pada masa yang sama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda