Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPA infak mushaf Al-Quran

    Oleh Ak Zaki Kasharan 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Sempena sambutan jubli emasnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menginfakkan sebanyak 302 mushaf Al-Quran kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada majlis yang diadakan di Aras 12, Dewan Serba guna, Bangunan JPA.

    Penyerahan infak mushaf Al-Quran kepada Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan Bin Haji Zainal itu telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman.

    Infak mushaf Al-Quran tersebut bukan sahaja dibukakan kepada warga JPA, tetapi juga dibukakan kepada ahli keluarga warga JPA dengan tujuannya untuk memperbanyakkan amal jariah melalui bersedekah dan memperolehi keberkatan dari Allah SWT dalam harta yang dimiliki.

    Selain itu, ia juga dapat menanamkan rasa keinsafan kepada diri, rasa tanggungjawab sesama insan serta memberi kemudahan kepada para mahasiswa dan mahasiswi UNISSA untuk menjadikan Al-Quran yang disumbangkan itu sebagai rujukan harian dalam pembelajaran mereka.

    Diharapkan agar mushaf-mushaf itu akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya sampai bila-bila, kerana pada hakikatnya Al-Quran diturunkan sebagai panduan untuk kejayaan umat Islam di dunia dan di akhirat. Islam sebagai agama yang berpaksikan kepada ilmu sangat menggalakkan manusia sentiasa mempelajari dan mengembangkan setiap ilmu yang dimanfaatkan yang juga dilaratkan kepada orang lain.

    Dr Norfarizal ketika menyampaikan mushaf Al-Quran kepada Dr Haji Norarfan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda