Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Sebagai usaha berterusan dalam melibatkan pelbagai pihak bagi penyediaan pelan-pelan pembangunan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) mengadakan acara seranta awam bersama golongan belia dari Daerah Tutong yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan Tutong.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPBD, Kementerian Pembangunan, di sini, turut hadir pada acara berkenaan ialah Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa, Dayang Marsita binti Omar selaku pengerusi acara, pegawai-pegawai kanan dari Lembaga Bandaran Tutong dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.
Dalam memperkasa peranan belia dalam kemajuan negara, acara seranta awam itu dihasratkan bagi meningkatkan pengetahuan para belia kepada fungsi dan peranan JPBD dalam menghala tuju pembangunan mampan, di samping menggalakkan penglibatan aktif pihak berkenaan bagi sama-sama membincangkan isu-isu kemajuan serta mengutarakan idea atau pendekatan kreatif dalam menghasilkan kemajuan yang bermutu tinggi bagi menjana kehidupan yang berkualiti.
Salah satu aktiviti utama yang dijalankan adalah perbincangan berkumpulan di mana para belia dibahagikan kepada empat kumpulan dan diberikan tema perbincangan khusus masing-masing.
Melalui perbincangan berkumpulan itu, para peserta telah berpeluang bagi menyuarakan pandangan mereka mengenai isu-isu kemajuan yang dikenal pasti khususnya bagi Pekan Tutong.

Pada akhir sesi perbincangan itu, setiap kumpulan telah membentangkan hasil perbincangan di mana beberapa penyelesaian dan aspirasi kreatif untuk masa hadapan bagi kemajuan Pekan Tutong yang lebih mantap yang dihasratkan akan dapat membukakan peluang-peluang perkembangan ekonomi dan sosial termasuk aktiviti-aktiviti rekreasi bagi kehidupan sihat.
Keseimbangan keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar perlu dititikberatkan dalam menghala tuju kemajuan mampan yang memerlukan pendekatan perancangan yang menyeluruh.
Oleh itu, pembangunan bandar yang mampan harus dijalankan dengan mengambil kira keupayaan menampung keperluan bagi pelbagai sumber guna tanah tanpa menjejaskan aliran lalu lintas, kesihatan, keselamatan, atau alam sekitar secara negatif.
Kemampanan bagi sesebuah kawasan bukan sahaja bergantung kepada perancangan, pengurusan dan pengawalan guna tanah yang efisien, akan tetapi juga kepada sokongan yang positif daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Selain perbincangan berkumpulan, JPBD juga menyediakan pameran mengenai perancangan guna tanah yang mana diharapkan akan dapat memberikan pendedahan belia kepada beberapa pelan pembangunan yang dihasilkan bagi Daerah Tutong.

