PAPAR, 4 APRIL – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar akan memastikan bekalan air terus dinikmati penduduk di daerah itu menjelang sambutan
Aidilfitri, kata Pengerusinya, Mohd Fuad Abdullah.
Beliau berkata sejak daerah itu dilanda bencana kemarau, pihaknya telah mengagihkan antara 500,000 hingga 1 juta liter air sehari kepada penduduk yang terjejas dan berusaha memastikan penduduk mendapat bekalan air secukupnya.
Beliau berkata ketika ini Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon membekalkan 40 juta liter air sehari (MLD) dan LRA Jentama hanya menghasilkan 8 juta MLD daripada kapasiti 10 juta MLD, manakala LRA Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) Limbahau berkapasiti 10 MLD masih tidak beroperasi.
“Dua LRA ini menghadapi isu sumber air pada tahap kemasinan tinggi pada muka sauk menyebabkan air tidak dapat diproses. Terdapat hujan baru-baru ini tetapi hanya sekitar sejam, kita memerlukan sekitar enam jam hujan lebat di hulu untuk turunkan kadar kemasinan dan bekalan air pada tahap penuh.
“Tidak lama lagi Aidilfitri, kami akan pastikan penduduk dapat nikmati bekalan air untuk mereka meraikan sambutan itu seperti biasa,” katanya pada sidang media perkembangan bencana kemarau daerah Papar di sini hari ini. – Bernama
