MIRI, 1 OGOS – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menyasarkan sifar kejadian kebakaran besar di Miri semasa cuaca panas dan kering ketika ini, kata Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata hal itu kerana daripada 152 titik panas yang dikesan dari 1 Januari hingga 30 Julai lepas di Sarawak, 42 daripadanya adalah dari bahagian itu.
“Terdapat sejumlah 90 titik panas dikesan di negeri ini pada Julai dan daripada jumlah itu, Miri mencatat 21 titik panas, diikuti 16 di Kapit dan masing-masing 11 di Bintulu dan Sri Aman.
“Hakikatnya, kawasan tanah gambut di Kuala Baram di Miri sangat terdedah kepada kejadian kebakaran belukar yang berlaku setiap kali musim panas dan kering, jadi semua jabatan dan agensi berkaitan serta pemilik tanah diharapkan lebih proaktif membendung kejadian itu,” katanya.
Uggah mempengerusikan mesyuarat JPBNS untuk membincangkan persiapan dalam menghadapi situasi itu dengan semua jawatankuasa pengurusan bencana daerah dan bahagian serta agensi dan jabatan kerajaan berkaitan semalam.
“Saya mahu Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak menggunakan dron untuk mengesan sebarang asap dari kawasan berkaitan dan memeriksa keadaan itu,” katanya dan menambah petugas juga perlu sentiasa mengawal menara pemantauan di kawasan terbabit. – Bernama


