JPCC adakan kejohanan e-Sukan pertama

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Jerudong Park Country Club Sdn Bhd (JPCC), bersempena Festival Disember Brunei 2021, telah mengadakan kejohanan e-Sukan dengan kerjasama pengurusan acara permainan, GameOn yang mempamerkan permainan mudah alih popular dalam komuniti tempatan, Player Unknown Battleground atau lebih dikenali sebagai PUBG.

Acara tersebut merupakan kejoha-nan maya pertama anjuran JPCC, di mana ia berlangsung pada hari ini hingga 5 Disember dan disertai dari rumah setiap pemain.

Sebanyak 64 pasukan telah mendaftar untuk kejohanan tersebut dengan pusingan awal berlangsung pada hari ini dan esok. Manakala perlawanan separuh akhir dan peringkat akhir perlawanan pula akan berlangsung lusa di mana 16 pasukan terbaik akan bersaing untuk mendapatkan tempat dan dinobatkan sebagai juara pertama untuk Kejohanan e-Sukan Jerudong Park.

Disebabkan situasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, orang ramai dinasihatkan untuk selalu berada di rumah dan kekal selamat, sementara negara kini dalam Fasa Peralihan.

Penonton masih boleh menyaksikan perlawanan secara langsung kerana acara itu disiarkan secara langsung melalui Facebook.  Acara ini dijalankan sebagai alternatif selamat untuk acara langsung di mana ia menggalakkan orang ramai untuk terus teranah di rumah tanpa menjejas keseronokan.

“Ini merupakan acara maya pertama kami dan Alhamdulillah, kami mendapat sambutan yang positif dan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang mendaftar, penaja dan rakan kongsi acara. 

“Saksikan kejohanan dengan selamat daripada keselesaan rumah anda,” jelas Pemangku Pengurus Besar dan Pengurus Jualan, Pemasaran & Acara JPCC, Hajah Siti Norzalena binti PDHA Rahman.