Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Jerudong Park Country Club Sdn Bhd (JPCC Sdn Bhd) hari ini melancarkan Kempen Come.Play.Win di Taman Permainan Jerudong, membuka tirai kempen terbesar yang pertama kali diadakan sehingga Mac 2022 kelak.
Kempen dilancarkan oleh Pengurus AM JPCC Sdn Bhd, Hajah Siti Suhaila binti Dato Paduka Haji Abdul Kani yang turut dihadiri oleh pihak pengurusan dan kakitangannya.
Menurut Pengurus Bahagian Jualan, Pemasaran dan Acara JPCC, Hajah Siti Norzalena PDHA Rahman, kempen Come.Play.Win memberi peluang kepada orang ramai memenangi hadiah-hadiah hebat dengan membeli pakej-pakej terpilih ditawarkan sepanjang kempen.
Seramai 20 pemenang bertuah akan dipilih, dengan 10 pemenang pertama diumumkan pada bulan September kelak.
Manakala 10 lagi pemenang akan diumumkan pada Mac 2022, dengan peluang memenangi hadiah utama kereta Toyota Corolla Cross.
Menurutnya lagi, ia bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung memenangi hadiah-hadiah menarik, malah memberi peluang kepada semua terutama keluarga meluangkan masa bersama.
“JPCC akan membawa pembaharuan dan juga sesuatu yang menyeronokkan untuk para pengunjung dan tambahan lagi, ini merupakan kempen cabutan bertuah terbesar yang pertama kali diadakan dan kami teruja menantikan 20 pemenang bertuah kempen ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenainya, bolehlah melayari laman sesawang atau media sosial JPCC.
