Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JPD
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengambil tindakan terhadap seorang pemandu trak kargo dengan kren atas kesalahan lalu lintas jalan raya kerana memunggah sebuah kenderaan lain jenis Tipper Truck, yang tular dalam media sosial.
Dalam kenyataan JPD hari ini, berikutan penularan gambar melalui media sosial yang memperlihatkan kenderaan tersebut memunggah sebuah kenderaan jenis Tipper Truck yang dipandu melalui Jalan Utama Berakas, baru-baru ini, Unit Penguatkuasaan, JPD telah membuat penyiasatan dan tindakan penguatkuasaan ke atas perkara berkenaan.
Sehubungan itu, JPD telah memanggil pemandu yang terlibat iaitu Ujang Baihaqi dan hasil soal siasat mendapati pemandu itu telah melanggar Peraturan-peraturan Lalu Lintas Jalan Raya, Penggal 68 di bawah Seksyen 22 (C) iaitu kenderaan yang tidak sesuai dari segi struktur digunakan bagi tujuan lain dan boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Mengikut peraturan tersebut, yang memerlukan pemandu berkenaan untuk diuji semula, lesen memandunya dibatalkan sekiranya didapati gagal dalam ujian memandu semula, di samping tindakan-tindakan kompaun terhadapnya iaitu denda kompaun $100 bagi kesalahan membawa muatan secara berbahaya (melebihi paras atap lori), denda kompaun $100 bagi kesalahan lori tidak sesuai membawa muatan dan denda kompaun $100 bagi kesalahan membawa muatan melebihi tinggi tanpa kebenaran polis atau JPD.
Pada masa yang sama, JPD juga telah pun mengeluarkan surat amaran kepada pengurus atau pemilik syarikat berkenaan.

Sebarang kesalahan lain jika dilakukan oleh syarikat berkenaan pada masa akan datang boleh diambil tindakan selanjutnya, antaranya bagi Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam syarikat berkenaan untuk turut digantung.
Kesalahan seperti itu akan dikenakan denda kompaun sebanyak $100 bagi kesalahan pertama, $200 bagi kesalahan kedua dan seterusnya sehingga kesalahan keempat di mana kes berkenaan boleh dihadapkan ke mahkamah.
JPD sekali lagi mengingatkan orang ramai khususnya pengguna jalan raya, untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas jalan raya bagi menjaga keselamatan bersama di jalan raya.
Jabatan itu turut menghargai dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk terus melaporkan dan mengongsi maklumat-maklumat yang berkaitan dengan kesalahan-kesalahan lalu lintas jalan raya dengan menyertakan bersama gambar dan/atau video melalui Talian Darussalam 123 atau melalui aplikasi WhatsApp Talian Darussalam 8333123.