Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Okt – Berikutan dengan satu mesej mengenai kesalahan-kesalahan lalu lintas jalan raya yang dikenakan denda dan Mata Demerit SiKAP tertentu dalam Bahasa Mandarin yang ditularkan melalui aplikasi media sosial termasuk WhatsApp, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) mengesahkan bahawa maklumat tersebut adalah tidak tepat dan JPD tidak pernah mengeluarkan mesej sedemikian.
JPD dalam kenyataannya yang dikeluarkan, di sini berkata mesej tersebut menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) serta Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) Pasukan Polis Diraja Brunei menjalankan sekatan jalan raya selama 60 hari bertujuan memastikan para pemandu kenderaan bermotor di negara ini tidak melanggar akta dan peraturan lalu lintas jalan raya seperti kegagalan pemandu memakai tali pinggang keledar semasa memandu.
Dalam pada itu, JPD ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu.
Di samping itu juga, JPD memohon mana-mana individu yang menerima mesej tular tersebut supaya menghentikan penyebarannya kerana boleh mengelirukan orang awam.
Bagi maklumat lanjut mengenai kesalahan-kesalahan lalu lintas jalan raya dan kadar-kadar denda kompaun yang tepat dan sahih, orang ramai bolehlah memuat turun pautan di bawah tajuk Senarai Kesalahan dalam laman sesawang Pasukan Polis Diraja Brunei di www.polis.gov.bn.
Sementara untuk mengetahui berkenaan dengan Mata Demerit SiKAP, orang ramai bolehlah merujuk laman sesawang JPD di www.ltd.gov.bn atau menghubungi Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, JPD di nombor telefon 2451979/80 sambungan 107 pada waktu-waktu berkerja.