JPD kesan pelbagai kesalahan dalam pemeriksaan bengkel kenderaan

Oleh Sim Y.H

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi menyeru semua bengkel-bengkel kenderaan di negara ini supaya meningkatkan piawaian dalam pengendalian kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan dengan mendapat pengiktirafan dan kebenaran JPD selaku agensi yang bertanggungjawab mengenainya di negara ini.

Seruan dibuat berikutan terdapatnya beberapa kesalahan yang telah dikesan semasa pemeriksaan tidak berjadual ke beberapa bengkel di Daerah Brunei dan Muara seperti bengkel-bengkel yang tidak berdaftar tetapi menjalankan operasi, membuat penambahan bangunan tanpa kebenaran, menyimpan kenderaan-kenderaan terbiar, penggunaan tapak dan pemasangan papan tanda tanpa kebenaran serta tiada peralatan keselamatan. Selain itu, kesalahan lainnya ialah menjalankan kerja-kerja badan kereta secara tidak teratur, penjualan kereta terpakai, mengendalikan kerja-kerja menggunakan perkakas dan peralatan kimpalan (welding) dan elektrikal yang diubah suai sendiri.

Melalui dapatan kesalahan-kesalahan itu, bengkel-bengkel kende-raan dinasihatkan mendaftar secara teratur agar memenuhi peraturan dan undang-undang yang berjalan pada masa ini.

Melalui pemantauan, terdapat tiga kategori bengkel kenderaan beroperasi di negara ini iaitu bengkel perkhidmatan membaik-pulih, servis dan kerja-kerja mekanikal, elektrikal kenderaan.

Berdasarkan statistik JPD, terdapat 56 buah bengkel kenderaan telah berdaftar dengan JPD di bawah Skim Pengiktirafan Bengkel iaitu 50 buah di Daerah Brunei dan Muara, sebuah di Daerah Tutong dan lima buah di Daerah Belait.

Anggota penguat kuasa ketika menjalankan pemeriksaan di salah sebuah bengkel. – Gambar oleh Azlan Othman.
Bengkel-bengkel kenderaan di Negara Brunei Darussalam perlu berdaftar di JPD di bawah Skim Pengiktirafan Bengkel. – Gambar serahan JPD

Pemeriksaan tersebut dijalankan oleh JPD berserta agensi-agensi berkenaan iaitu Unit Sukatan dan Timbangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa; Kementerian Pembangunan dan Pihak Berkuasa Kebangsaan Keselamatan; Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) telah mengadakan pemeriksaan tidak berjadual ke beberapa bengkel di Daerah Brunei dan Muara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPD, disini, hari ini, menyatakan pemeriksaan tidak berjadual itu bermatlamat untuk mengetahui operasi bengkel-bengkel kenderaan di negara ini sama ada dijalankan dengan teratur dan mengikut kebenaran agensi-agensi berkenaan.

JPD juga mendapati terdapat banyak lagi bengkel-bengkel lain yangtidak berdaftar dengan JPD iaitu sama ada yang beroperasi dengan mendapat kelulusan daripada agensi- agensi lain berkenaan sahaja dan selebihnya lagi didapati beroperasi tanpa sebarang kebenaran langsung daripada mana-mana pihak berkuasa di negara ini.

JPD memaklumkan kepada orang ramai bahawa bengkel-bengkel yang telah berdaftar dengan JPD adalah bengkel-bengkel yang telah melalui proses-proses pengiktirafan. Tertakluk kepada mesin dan peralatan, kapasiti, kecekapan dan kepakaran bengkel-bengkel berkenaan, JPD telah mengeluarkan sijil bengkel kelas A hingga C dimana bengkel kelas A adalah bengkel yang berkeupayaan membuat kerja-kerja tahap ubahsuai dan memperbaiki bahagian kenderaan yang penting seperti enjin dan badan kenderaan.

Oleh itu, orang ramai khususnya pemilik-pemilik kenderaan adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan bijak dalam memilih bengkel kenderaan untuk keselamatan bersama jua.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JPD di talian 2451979/80/87 sambungan 111pada waktu pejabat, atau [email protected] atau [email protected] atau menghubungi TalianDarusalam 123, atau melalui aplikasiWhatsApp Talian Darussalam 8333123 atau melayari laman sesawang Talian Darussalam www.123.gov.bn.