Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPD laksana pembaharuan dan penyelarasan dasar

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – ​Berikutan kejadian-kejadian kenderaan terbakar yang semakin meningkat di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah membuat beberapa pembaharuan dan penyelarasan ke atas dasar-dasar mengenai pengawalseliaan dan prosedur pemberian kelulusan kepada bengkel-bengkel kenderaan dan stesen-stesen pemeriksaan kenderaan (VIS) di negara ini.

    Antara usaha segera yang telah dibuat oleh kementerian tersebut bersama agensi-agensi yang berkenaan adalah menjalankan satu kajian mengenai punca-punca kekerapan kejadian kenderaan terbakar di negara ini.

    Perkara itu telah dikongsikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dalam sidang media mengenainya yang berlangsung di Bilik Terbilang, Tingkat 2, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini.

    ​Sehubungan ini, tambah Yang Berhormat Dato, JPD akan mengeluarkan notis arahan kepada semua 16 buah VIS di negara ini bagi penambahbaikan teknikal aspek yang wajib diperiksa oleh setiap VIS ke atas semua kenderaan yang berumur tujuh tahun ke atas seperti pemeriksaan bawah kenderaan iaitu under-carriage, pendawaian dan bateri.

    Manakala itu, bengkel-bengkel kenderaan yang sudah beroperasi yang belum berdaftar dengan JPD akan dikehendaki berbuat demikian untuk mendapatkan pengiktirafan, tambah beliau.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa menjelaskan beberapa dasar-dasar dan prosedur baharu.
    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa menjelaskan beberapa dasar-dasar dan prosedur baharu bersama Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (kiri) dan Pengarah JPD (kanan).

    ​Bagi melaksanakan perkara-perkara tersebut, peraturan baharu akan diperkenalkan bagi pengawalseliaan bengkel-bengkel kenderaan dan VIS yang berdaftar di bawah JPD bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh bengkel-bengkel yang diiktiraf.

    Menurut beliau lagi, JPD dan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), dan Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) akan meneruskan pemeriksaan ke atas bengkel-bengkel kenderaan dan VIS yang telah dikenal pasti serta memantau kes-kes kejadian kebakaran kenderaan di negara ini.

    “Usaha-usaha akan dibuat untuk melakukan pemeriksaan-pemeriksaan rambang ke syarikat-syarikat berkenaan dan premis bengkel-bengkel dengan kerjasama agensi-agensi berkenaan bagi memastikan peraturan dan piawaian keselamatan adalah sentiasa dipatuhi,” kata beliau.

    Agensi-agensi penguatkuasaan berkenaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak individu atau bengkel-bengkel yang menyalahi peraturan dan undang-undang yang berjalan dari semasa ke semasa.

    Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Muhammad Nazri bin Haji Muhammad Yusuf dan Pengarah JPD, Haji Rozaly bin Haji Saidon.

    Pada sesi soal jawab, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi mengulas mengenai beberapa kes yang melibatkan kenderaan terbakar dan hasil pemeriksaan yang dilaksanakan mengenainya, baru-baru ini. Beliau berkata, jumlah kenderaan yang terbakar pada tahun ini sahaja mencecah sebanyak 64.

    Menurut beliau, penemuan awal daripada kajian yang dilakukan kementeriannya dan beberapa agensi mendapati kebanyakan kebakaran terjadi kerana pendawaian elektrik dan sebagainya.

    “Tetapi sudah tentunya kami hanya berjaya mendapatkan sebilangan sampel, kajian ini berdasarkan jumlah sebenar kejadian tahun ini. Kami juga akan menemu bual mangsa sebenar,” katanya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda