Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPD perkenal perkhidmatan nomborku

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) kini memperkenalkan perkhidmatan NomborKu iaitu laman info yang akan memaparkan tanda-tanda pengenalan kenderaan atau nombor-nombor pendaftaran kenderaan yang boleh dipohon melalui tawaran terbuka.

    Orang ramai yang berminat boleh melayari laman info berkenaan melaui pautan www.jpd.gov.bn/nomborku mulai hari ini.

    Perkara berkenaan dijelaskan oleh Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saidon semasa sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat JPD, di sini, hari ini.

    Beliau menjelaskan lagi, nombor-nombor pendaftaran dipaparkan dengan harga masing-masing dan mengikut kategori nombor biasa, nombor perak, nombor emas atau nombor khas.

    Harga yang dipaparkan adalah sama ada harga minimum yang ditetapkan bagi kategori yang berkenaan atau harga tertinggi yang pernah ditawarkan oleh orang ramai yang menyertai tawaran tertutup bagi nombor berkenaan tetapi gagal menjelaskan bayarannya mengikut tempoh dan syarat-syarat yang berjalan pada masa ini.

    Haji Rozaly semasa mengadakan sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat JPD, kelmarin.

    Orang ramai yang berminat untuk memiliki mana-mana nombor yang dipaparkan, bolehlah berkunjung ke cawangan Ibu Pejabat JPD atau JPD Kuala Belait (KB) mulai esok (25 Februari) semasa waktu kaunter beroperasi, untuk membuat permohonan dan pembayaran terus. Bagi membuat permohonan, satu borang khas yang boleh didapati di JPD atau laman sesawang JPD perlu dilengkapkan untuk diserahkan kepada kaunter dan pembayaran pula boleh dibuat secara tunai, kad debit atau kad kredit. Perkhidmatan berkenaan adalah penambahbaikan secara berfasa yang akan diperkenalkan oleh JPD untuk memberikan perkhidmatan yang telus dan memudah cara urusan orang ramai dengan jabatan berkenaan.

    JPD akan memperkenalkan ciri-ciri penambahbaikan dalam fasa-fasa seterusnya antaranya termasuk fungsi dalam dwi-bahasa, permohonan dan pembayaran secara dalam talian serta fungsi pencarian bagi nombor-nombor lain.

    Dalam kesempatan itu, beliau juga mengingatkan orang ramai yang telah berjaya memperolehi nombor pendaftaran kenderaan untuk mendaftarkan nombor berkenaan ke atas kenderaan dalam tempoh 30 hari seperti syarat yang ditetapkan. Orang ramai boleh membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh 30 hari tersebut dengan membuat pembayaran holding fee dan tempoh pendaftaran akan dilanjutkan menjadi tiga tahun.

    Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JPD menerusi talian 2451979/90/87 sambungan 111 pada waktu pejabat atau melalui emel info-ltd@jpd.gov.bn atau Talian Darussalam (TD) 123.

    Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Pengangkutan Darat, Dayang Fadzila binti Awang Abdul Hamid dan Ketua Unit IT, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Nor Iswandi bin Haji Rajali.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda