Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPD teruskan operasi penguatkuasaan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) meneruskan lagi operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan-kenderaan yang mencurigakan dari segi tahap keselamatannya di jalan raya.

    Menurut siaran akhbar yang dikeluarkan oleh JPD kelmarin, melalui operasi yang dijalankan di kawasan Batu Satu, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan, sejumlah 21 buah kenderaan komersial dan lapan buah kenderaan persendirian telah pun ditahan dan diperiksa bagi pelbagai kesalahan kerana melanggar Akta dan Peraturan Lalu lintas Jalan Raya (Penggal 68) telah pun dibuat oleh JPD.

    Manakala itu, JPD juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap beberapa kenderaan persendirian yang berkaitan dengan kenderaan-kenderaan yang didapati menyalahi Akta dan Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya (Penggal 68).

    Di samping tindakan-tindakan terhadap pemandu dan kenderaan, pihak JPD juga telah mengeluarkan surat amaran kepada majikan atau pemilik syarikat berkenaan yang mana kesalahan-kesalahan membabitkan pemandu dan kenderaan di bawah majikan dan syarikat berkenaan.

    Berdasarkan pemantauan JPD, terdapat kenderaan-kenderaan yang mencurigakan dari segi tahap keselamatannya diguna pakai di jalan raya.

    Oleh yang demikian, JPD ingin mengingatkan semua pemilik dan pemandu kenderaan bermotor supaya mematuhi akta-akta serta peraturan-peraturan dan undang-undang jalan raya dan mengamalkan etika pemanduan yang selamat serta sentiasa mematuhi had-had laju yang ditetapkan, memakai tali pinggang keledar ketika memandu, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memastikan tayar dalam keadaan baik atau tidak botak, meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan dan tidak membawa muatan berlebihan yang boleh membahayakan.

    JPD juga mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai dalam mengongsikan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya. Mereka boleh melaporkan perkara-perkara berkaitan dengan kesalahan lalu lintas jalan raya melalui Talian Darussalam 123 atau melalui Aplikasi WhatsApp Talian Darussalam +6738333123 dengan menyertakan gambar kenderaan terbabit.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda