Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPES bakal raikan WSD 2025

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), akan meraikan Hari Statistik Sedunia (WSD) 2025 di peringkat kebangsaan 20 Oktober nanti, dengan tema Ke Arah Wawasan 2035 dengan Statistik Berkualiti.

    Seiring dengan Negara Brunei Darussalam memasuki dekad terakhir menuju pencapaian Wawasan Brunei 2035, tema ini menekankan kepentingan data menepati masa dan boleh dipercayai bagi memantau kemajuan, mengenal pasti jurang, serta menjadi panduan untuk penyesuaian dasar.

    Statistik yang berkualiti adalah penting untuk memastikan akauntabiliti, mengukur impak inisiatif negara, dan membolehkan keputusan yang berinformasi bagi mencapai matlamat Negara Brunei Darussalam iaitu ekonomi yang dinamik, rakyat yang berkemahiran tinggi, dan mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.

    Sempena WSD 2025, JPES akan menganjurkan beberapa aktiviti yang mempromosikan budaya berasaskan data serta meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan statistik dalam perancangan berasaskan bukti. Aktiviti ini akan melibatkan pelbagai golongan, daripada pelajar sekolah sehingga ke agensi-agensi berkepentingan utama.

    Ini termasuk sesi dialog yang akan menghimpunkan peserta dari agensi kerajaan dan bukan kerajaan, dengan panel terdiri daripada JPES, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS).

    Gambar Freepik

    Perbincangan akan memberi tumpuan kepada topik utama seperti inflasi, Rangka Tindakan Ekonomi, serta peranan statistik dalam menilai dasar dan program pembangunan.

    Selain itu, akan turut diadakan ialah program literasi statistik untuk sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi. Program itu dijadualkan untuk diadakan pada bulan Oktober dan November 2025, program ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman pelajar mengenai bagaimana statistik menyokong kehidupan seharian, penyelidikan, dan pembangunan negara. Melalui beberapa sesi interaktif, akan memupuk budaya celik data dalam kalangan generasi muda, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran masa depan dengan pendekatan berasaskan maklumat dan bukti.

    Melalui sambutan itu, JPES berhasrat untuk menekankan peranan penting statistik dalam memantau kemajuan, menetapkan penanda aras, serta menyediakan gambaran fakta bagi memberi panduan strategi yang berkesan dan penambahbaikan berterusan dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, pendidikan, perniagaan, dan ekonomi.

    Untuk maklumat lanjut mengenai statistik yang dikeluarkan oleh JPES boleh didapati melalui Instagram rasmi @statistics.jpes, laman sesawang https://deps.mofe.gov.bn atau e-mel info.statistics@jpes.gov.bn

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda