Wednesday, July 3, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    JPES keluarkan tiga kompaun

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengeluarkan tiga kompaun berjumlah $1,500 keseluruhannya kepada tiga buah premis perniagaan kerana tidak mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan Peraturan-peraturan di bawahnya sepanjang April dan Mei tahun ini.

    Hasil penguatkuasaan rutin yang dijalankan oleh JPES melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna pada April dan Mei 2024 mendapati syarikat-syarikat tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Bab 5 di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu berkaitan dengan paparan tanda harga.

    Syarikat-syarikat berkenaan gagal mempamerkan tanda harga bagi sebahagian barangan yang dijual di dalam premis perniagaan masing-masing dan tindakan kompaun telah dikeluarkan.

    Penguatkuasaan sepanjang tempoh itu juga telah merekodkan tiga notis amaran dikeluarkan kepada tiga buah premis perniagaan atas kesalahan di bawah Bab 3B iaitu menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi barangan yang dikawal harga dan Bab 5 iaitu tidak mempamerkan tanda harga.

    Sehubungan itu, JPES dalam kenyataan yang dikeluarkan mengingatkan para peniaga supaya peka dan sentiasa mengamalkan amalan perniagaan yang beretika termasuk mempamerkan tanda harga dengan jelas dan tepat bagi membolehkan pengguna untuk membuat keputusan pembelian yang bermaklumat.

    Para peniaga juga perlu memastikan barangan yang dikawal harga di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 seperti minyak masak dan susu tepung formula anak damit tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

    Amalan perniagaan yang beretika adalah asas dalam membina keyakinan pengguna dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang sihat.

    Orang ramai digalakkan untuk menggunakan aplikasi mudah alih PenggunaBijak bagi melaporkan aduan dengan menyertakan dokumen sokongan seperti resit pembelian atau bagi mendapatkan maklumat berhubung dengan Akta Kawalan Harga, Penggal 142.

    Aduan juga boleh disalurkan melalui Talian Darussalam 123 atau e-mel kepada aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    Pegawai penguatkuasa JPES semasa menjalankan tugas. – GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Kira-kira 115,000 pelarian Afghanistan dari Pakistan, Iran pulang ke tanah air

    KABUL, 2 JULAI – Kira-kira 115,000 pelarian Afghanistan dari Pakistan dan Iran telah pulang ke negara asal mereka sejak sebulan lalu, menurut Kementerian Pelarian...