Friday, November 29, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPES laksana operasi bersepadu

    TEMBURONG, 22 SEPT – Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna bersama Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah menjalankan operasi bersepadu ke atas premis-premis perniagaan di Daerah Temburong baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPES, di sini, hasil daripada operasi tersebut mendapati bahawa empat buah premis perniagaan di kawasan Bangar, Sungai Tanit dan Kampung Amo yang diperiksa telah mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya di mana barangan yang dikawal harga seperti minyak masak dan susu tepung formula, tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan, dan barangan yang dijual di premis perniagaan telah dibubuh tanda harga dengan jelas dan betul.

    Sementara itu, Unit SDT pula mendapati sembilan unit alat sukat dan timbang digunakan bagi tujuan aktiviti jual beli. Satu unit daripadanya didapati melanggar Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151, Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan, 1994 iaitu menggunakan alat sukat dan timbang yang telah mansuh tempoh kebenaran pendaftaran yang diberikan.

    Pihak syarikat telah dikeluarkan Notis Penyitaan dan dikehendaki hadir ke pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh hari waktu bekerja daripada tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu tersebut. Alat berkenaan telah disita.

    Sehubungan itu, JPES dan Unit SDT mengingatkan para peniaga untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara beretika dan wajar dengan sentiasa memastikan barangan yang dikawal harga tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan barangan yang dijual dipamerkan tanda harga yang jelas serta tidak mengelirukan pengguna.

    Para peniaga juga diingatkan untuk memastikan alat sukatan dan timbangan yang digunakan semasa aktiviti jual beli yang melibatkan antara lainnya tanda berat dan isi padu, adalah berdaftar dengan Unit SDT dengan tempoh pendaftaran yang masih sah.

    ATAS & BAWAH : Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan operasi bersepadu ke atas premis-premis perniagaan di Daerah Temburong baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda