Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Bagi mewujudkan ketelusan harga dan membolehkan orang awam untuk mengetahui harga dan pilihan yang terdapat di pasaran, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengongsikan maklumat hasil kerja-kerja pemantauan harga dan stok barangan keperluan asasi tertentu kepada orang ramai melalui laman sesawang JPES, aplikasi PenggunaBijak dan media sosial.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam kenyataannya pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini.
Menurut beliau, dalam aplikasi PenggunaBijak tersebut juga terdapat syarikat-syarikat perniagaan yang mempunyai stok barangan asasi berkenaan.
Berikutan dengan pengumuman mengenai terdapatnya kes jangkitan COVID-19 di negara ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa pemantauan ke atas harga barangan telah ditambah sejak 7 Ogos lalu meliputi barangan seperti pelitup muka, pencuci tangan, minyak masak, beras, susu tepung anak damit, ayam mentah, daging lembu, telur dan bawang.
Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan kepada para pengguna untuk menggunakan aplikasi PenggunaBijak bagi membuat perbandingan harga dan pilihan.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, pihak JPES dengan kerjasama pihak Darussalam Enterprise (DARE) telah membuat pemantauan ke atas tahap stok barangan asasi di peringkat pembekal dan peruncit.
Seterusnya beliau menjelaskan bahawa stok simpanan beras wangi di negara ini adalah mencukupi dan telah dipertingkatkan stok penyimpanan sehingga lapan bulan manakala bekalan ayam dan daging mentah serta telur adalah mencukupi dan boleh diperolehi berdasarkan kepada keberadaan barangan tersebut di kedai-kedai runcit dan pasar raya.
Selain itu, setakat ini, jumlah bagi barangan lain seperti pelitup muka, pencuci tangan, minyak masak dan susu tepung formula adalah memadai di pasaran khususnya di peringkat peruncit.
Manakala di peringkat pembekal, pengimport utama makanan kering mempunyai stok yang mencukupi sekitar satu hingga tiga bulan bergantung pada produk dan jangka hayat.
Para pengimport juga berusaha mempelbagaikan sumber bekalan dengan mendapatkan pembekal atau jenama alternatif bagi mengurangkan impak kenaikan harga dan gangguan
rantaian bekalan.
Pihak JPES juga ingin menasihatkan para peniaga untuk menjual barangan tersebut pada harga yang munasabah dan berpatutan dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dalam situasi pandemik masa ini.
Sebarang isu dan hal ehwal pengguna yang berkaitan dengan amalan perniagaan para peniaga yang tidak beretika, orang ramai bolehlah menghubungi JPES melalui Talian
Darussalam 123 atau WhatsApp ke talian 8333123. Aduan juga boleh disalurkan melalui PenggunaBijak atau e-mel kepada aduanpengguna@jpes.gov.bn.