Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPES, Unit SDT lancar operasi bersepadu

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Sebanyak 11 unit alat sukatan dan timbangan digunakan bagi tujuan perdagangan adalah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) selaras dengan Akta Sukatan dan Timbalan 1983, Penggal 151 dan Peraturan-peraturan (Penelitian) Alat-alat Sukatan dan Timbangan 1994 Ceraian 3(1) dan (2).

    Manakala itu, kesemua lima buah premis perniagaan yang diperiksa oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) didapati mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya di mana tanda harga dipamerkan dengan jelas dan selaras dengan sistem di kaunter pembayaran serta barangan yang dikawal harga seperti minyak masak dan susu tepung formula anak damit, tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

    Semasa pemeriksaan dijalankan, para peniaga diberi peringatan untuk sentiasa memastikan tanda harga dipamerkan dengan jelas dan betul agar tidak mengelirukan pengguna.

    Sementara itu, Unit SDT pula mendapati beberapa buah premis perniagaan gagal mempamerkan tanda berat bersih ke atas produk-produk berbungkus seperti sayur, buah, makanan kering dan barang mentah dan juga mempamerkan tanda berat yang tidak selaras sepertimana tanda berat yang tertera pada setiap bungkusan.

    Pihak pengurusan dan pekerja-pekerja pembungkus juga telah dikongsikan tatacara membungkus dan menimbang dengan betul.

    Pegawai penguat kuasa semasa menjalankan pemeriksaan ke atas salah sebuah premis perniagaan. – GAMBAR SERAHAN JPES
    GAMBAR SERAHAN JPES

    Hasil dapatan berkenaan adalah daripada operasi bersepadu yang dikendalikan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit SDT dan JPES melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) di premis perniagaan di Kampung Bukit Panggal, Kampung Penanjong dan Kampung Batang Buruk, Dearah Tutong pada 22 Ogos lalu.

    Para peniaga diingatkan supaya semua produk yang dipamerkan untuk dijual kepada pelanggan dikehendaki dengan perintah di bawah Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 untuk mempamerkan tanda berat bersih yang betul dan jelas.

    Kegagalan dalam mematuhi mana-mana syarat di bawah akta berkenaan adalah kesalahan dan boleh dikenakan denda sebanyak $500 atau penjara selama tiga bulan.

    Para peniaga turut diberi peringatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara beretika dengan mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

    Ketidakpatuhan terhadap akta berkenaan boleh dikenakan kompaun tidak melebihi $1,000 dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan denda maksimum sebanyak $20,000 dan penjara selama lima tahun.

    Operasi itu menguatkuasakan akta dan peraturan seperti Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151 iaitu memastikan sebarang penggunaan alat sukat dan timbang bagi tujuan perdagangan hendaklah sah, tepat dan berdaftar dengan Unit SDT; dan Akta Kawalan Harga, Penggal 142 iaitu bagi barangan yang dikawal harga di bawah akta berkenaan tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan bagi barangan yang dijual untuk dipamerkan tanda harga dengan jelas dan tidak mengelirukan.

    Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut, boleh menghubungi agensi-agensi berkenaan iaitu Unit SDT melalui e-mel sdt@mofe.gov.bn atau talian 2334092 dan JHEP, JPES melalui Talian Darussalam 123 dan aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau e-mel aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda