Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPHEP periksa kepatuhan harga diskaun

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Dalam usaha menjaga kesejahteraan pengguna, Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP) di Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) telah menjalankan pemeriksaan sejak kempen Brunei Salebration 2020 (BSb 2020) berlangsung bagi memastikan kepatuhan terhadap Peraturan Acara Harga Jualan Murah.

    Menurut kenyataan dikeluarkan JPHEP di sini hari ini, acara jualan tahunan itu telah mendapat sokongan memberangsangkan daripada sebanyak 481 premis perniagaan daripada pelbagai sektor.

    Sektor perniagaan yang paling tinggi penyertaannya ialah perniagaan perabot rumah, barangan elektrik dan elektronik, alat perkakas, pakaian dan kasut serta gedung-gedung pasar raya.

    Sehubungan itu, pemeriksaan dijalankan bagi memastikan peraturan tawaran diskaun semasa acara jualan adalah berdasarkan harga terendah ditawarkan 30 hari sebelum BSb 2020 bermula. Ia termasuklah harga dan tawaran diskaun yang diberikan secara lisan semasa transaksi dibuat di antara peniaga dan pengguna.

    Peraturan berkenaan bertujuan bagi memastikan pengguna tidak diperdaya oleh peniaga dengan penjimatan palsu berdasarkan ‘harga sebelum’ yang telah dinaikkan atau dengan membuat kenyataan palsu mengenai ‘harga sebelum’ acara jualan.

    Para pegawai JPHEP ketika melakukan pemeriksaan di sebuah gedung membeli-belah yang menyertai kempen BSb 2020.
    Pemeriksaan harga diskaun ke atas sebuah kedai perabot.

    JPHEP turut menegaskan, kegagalan dalam memberikan maklumat sokongan bagi mengesahkan ketulenan tawaran diskaun atau memberikan maklumat palsu mengenai harga diskaun dengan tujuan mengelirukan pengguna adalah satu kesalahan di bawah Perintah Perlindungan Pengguna (Perdagangan Wajar) dan Peraturan Acara Harga Jualan Murah.

    Ini boleh membawa denda maksimum sebanyak $20,000 dan penjara selama lima tahun.
    Peniaga juga diingatkan untuk mematuhi peraturan tersebut dengan menggunakan ‘harga sebelum’ yang sah sebagai asas kepada harga diskaun yang ditawarkan bagi membolehkan para pengguna membuat perbandingan harga sebelum dan harga selepas secara adil dan telus dan seterusnya membuat keputusan pembelian yang tepat.

    Selain daripada usaha JPHEP menjalankan pemeriksaan secara berterusan, orang ramai adalah juga dinasihatkan untuk menjadi mata dan telinga dengan memberikan maklumat kepada pihak JPHEP sekiranya mengesyaki sebarang amalan perniagaan yang tidak wajar.
    Sebarang soalan, maklum balas atau aduan mengenai BSb 2020 atau perlindungan pengguna secara amnya, orang ramai boleh menghubungi pihak JPHEP melalui Talian Darussalam 123, aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau e-mel di aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    JPHEP juga mengucapkan terima kasih kepada peniaga yang menyertai BSb2020 dalam usaha menyokong agenda kebangsaan dan menegakkan etika yang baik semasa menjalankan perniagaan dalam membina keyakinan pengguna.

    Selain mempromosikan penggunaan domestik yang berdaya tahan dan akhirnya akan memberi manfaat ke arah pertumbuhan ekonomi pada jangka masa panjang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda