Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Sebanyak 167 aduan iaitu 62 peratus daripada 270 aduan rasmi yang diterima melalui Talian Darussalam 123 (TD 123) setakat ini, bermula Januari 2020, adalah mengenai harga barangan.
Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (JPHEP) dalam kenyataannya juga menyatakan bahawa 82 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan rasmi yang diterima adalah mengenai harga barangan.
Manakala itu, lebih daripada 60 peratus pula aduan mengenai harga melibatkan kenaikan harga penutup mulut dan hidung serta pembersih tangan. Selain itu, JPHEP juga menerima aduan mengenai waranti dan perkhidmatan yang tidak memuaskan melibatkan sektor makanan dan minuman, runcit, telekomunikasi, barangan elektrik dan elektronik dan sebagainya.
JPHEP menekankan bahawa setiap aduan yang diterima secara individu dinilai berdasarkan konteks aduan yang berbeza bagi mengenal pasti sama ada aduan adalah di bawah skop perundangan bidang kuasa jabatan.
Lazimnya, jabatan tidak masuk campur dalam harga pasaran di pasaran, kecuali barangan tertentu yang ditetapkan harga maksimum oleh JPHEP dan pengawalselia sektor masing-masing (termasuk barangan subsidi), di bawah Akta Kawalan Harga)
Dalam tempoh krisis yang tidak diduga seperti pandemik COVID-19 pada masa ini, JPHEP memantau harga bagi beberapa barangan yang dianggap kritikal untuk kesihatan dan keselamatan pengguna dan melindungi kepentingan orang ramai serta mencegah amalan mengaut keuntungan yang tidak wajar.
Usaha pemantauan harga tersebut tidak bertujuan untuk menetapkan harga maksimum tapi hanya untuk memantau kadar keuntungan dengan mengambil kira kos barangan dan trend harga pasaran bagi berlaku adil terhadap peniaga.
Sementara itu, peniaga disarankan untuk memberi maklumat mengenai harga dan kos barangan tertentu seperti penutup mulut dan hidung, pembersih tangan dan barangan pembersih yang diberi pengecualian cukai sementara berikutan pandemik COVID-19 seperti yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada 21 Mac 2020.
Peniaga diminta memberi penjelasan jika terdapat kenaikan harga yang disyaki tidak munasabah dan kenyataan palsu daripada peniaga mengenai kenaikan harga adalah bertentangan dengan Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar).
Jabatan menyatakan bahawa pada amnya, peniaga telah memberi kerjasama dalam memberi maklumat yang dipohonkan yang mana hasil penelitian maklumat diperolehi daripada pembekal-pembekal mendapati, kenaikan harga didorong oleh kos import yang tinggi akibat permintaan yang meningkat secara mendadak.
Maklumat data yang diperolehi juga menunjukkan bahawa harga yang berbeza adalah disebabkan sumber bekalan yang berbeza.
JPHEP telah mengumpulkan senarai harga yang komprehensif daripada lebih 100 buah kedai di seluruh Brunei bagi penutup mulut dan hidung serta pembersih tangan.
Senarai harga boleh diperolehi melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak dan laman sesawang rasmi JPHEP (www.deps.gov.bn/cad) dalam usaha meningkatkan ketelusan harga dan membolehkan orang ramai selaku pengguna untuk membuat informed-purchase decision dengan membandingkan harga bagi mendapatkan nilai harga yang terbaik.
JPHEP turut menyatakan bahawa setakat ini, aduan mengenai kenaikan harga produk berkenaan telah menunjukkan penurunan.
Kaedah pemantauan harga dan pasaran dengan mendapatkan maklumat tertentu daripada pembekal serta prinsip ketelusan harga yang diutamakan telah membantu dalam menangani aduan mengenai kenaikan harga penutup muka dan pembersih tangan dalam keadaan pandemik COVID-19.
Melalui pendekatan yang seimbang ini juga kepentingan pengguna dapat dipelihara tanpa menjejaskan persaingan dalam pasaran.
Sehubungan itu, untuk sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai disarankan untuk menyalurkannya melalui medium rasmi di talian TD 123 atau aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau e-mel aduanpengguna@jpes.gov.bn.
JPHEP di Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam memelihara kesejahteraan pengguna dan kecekapan pasaran melalui pelaksanaan dan penguatkuasaan Perintah Persaingan 2015, Perintah Pelindungan Pengguna (Perdagangan Wajar) 2011 dan Akta Kawalan Harga, Penggal 142. Jabatan tidak masuk campur dalam harga barangan di pasaran, kecuali barangan tertentu yang ditetapkan harga maksimum oleh JPHEP dan pengawal selia sektor masing-masing (termasuk barangan subsidi), di bawah Akta Kawalan Harga.