Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPI adakan Majlis Penutup Tadarus Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Penutup Tadarus Al-Quran bagi guru-guru serta kakitangan sekolah-sekolah agama kawasan Brunei I, IIA, IIB, III, IV dan Daerah Temburong yang disertai dengan majlis penyampaian sumbangan secara berasingan, kelmarin.

    Bagi sekolah-sekolah agama Kawasan Brunei IIA, majlis yang diadakan di Dewan Serba Guna Sekolah Ugama (SU) Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop telah dihadiri oleh tetamu khas majlis, Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), JPI, Haji Ayob bin Haji Ghani.

    Tetamu khas kemudian memimpin majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang kemudian diikuti beramai-ramai dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas, disusuli tahlil, Doa Khatam Al-Quran serta Dikir Marhaban dan diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan.

    Majlis yang serupa juga diadakan bagi Kawasan Brunei IIB, di tempat yang sama, Selasa lalu. Hadir selaku tetamu khas ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei IIB, Awang Mohd Hady bin Bukhari.

    Pada Rabu lalu, Kawasan Brunei III telah mengadakan majlis sama di Dewan SU Beribi Gadong yang dihadiri tetamu khas, Pegawai Pengajian Islam Daerah bagi Kawasan Brunei III, Awang Mohd Fauzi bin Haji Zaini.

    Acara diselajurkan dengan penyampaian derma khairat bagi guru dan ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah. Manakala bagi sekolah-sekolah agama Daerah Temburong, majlis telah diadakan di Dewan Sekolah Arab Temburong dan dihadiri sama oleh Pegawai Pengajian Islam Daerah Temburong, Hajah Rosita binti Haji Yaakub yang juga menyempurnakan sumbangan derma daripada guru-guru agama daerah berkenaan kepada anak-anak yatim sekolah-sekolah agama Daerah Temburong. Sementara itu, bagi Kawasan Brunei I, majlis penutup tadarus diadakan di Surau SU Pengiran Anak Puteri Masna, Bandar Seri Begawan, Khamis lalu. Hadir selaku tetamu khas ialah Penolong Pengarah (Institusi Pengajian), JPI, Hajah Mariana binti Haji Jamil.

    Acara diselajurkan dengan Program Kelinga Ramadan iaitu penyampaian derma kepada 42 anak-anak yatim sekolah-sekolah agama Kawasan Brunei I. Bagi Kawasan Brunei IV, majlis diadakan di Dewan SU Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut yang dihadiri oleh Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), JPI, Haji Ayob bin Haji Ghani selaku tetamu khas majlis. Acara diselajurkan dengan majlis penghargaan bagi tiga guru agama yang bersara.

    Majlis-majlis berkenaan merupakan acara tahunan kendalian Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Agama Brunei semasa bulan Ramadan.

    Antara jemputan yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda