Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 11 NOV – Lapan buah pasukan yang terdiri daripada guru-guru dari seluruh Daerah Belait telah berentap dalam kejohanan futsal anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK) yang diadakan di Kompleks Sukan Mumong, kelmarin.
Kejohanan yang diadakan setiap tahun itu adalah bersempena sambutan Hari Guru ke-34.
Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyerahkan pingat dan piala kepada para pemenang kejohanan ialah bekas pegawai JPKK, Haji Mohd Ishak bin Haji Zainal.
Pada sebelah pagi telah menyaksikan empat pasukan yang bertanding dalam Kumpulan A iaitu TIS 24, JPI C, SMPW Healing FC, dan SMSA. Manakala Permata 2.0, JPI A, IBTE KB 2024 dan JPKK Suka-Suka bersaing dalam Kumpulan B.
Dua pasukan teratas mara ke peringkat separuh akhir di mana JPI C berjaya menewaskan IBTE KB 2024, 3-0, manakala TIS 24 menewaskan JPI A, 1-0.
Dalam perlawanan akhir telah menyaksikan pasukan JPI C dan TIS 24 terikat seri 1-1, yang kemudiannya berakhir dengan penentuan sepakan penalti yang dimenangi oleh JPI C dengan jaringan 2-1.
Di samping perlawanan akhir, turut diadakan perlawanan Silver Plate yang melibatkan pasukan-pasukan yang tidak berjaya mara ke separuh akhir. Permata 2.0 berjaya meraih kemenangan tipis menentang JPKK Suka-Suka dengan keputusan 2-1.
Bahagian kedua kejohanan diteruskan pada sebelah petang dengan lapan pasukan terus berentap dalam format penyingkiran tunggal Piala FA.
alam perlawanan itu, JPI C terus menunjukkan prestasi cemerlang dan berjaya mara ke perlawanan akhir menentang JPKK Suka-Suka, yang mana JPI C berjaya menewaskan JPKK Suka-Suka 3-1 menerusi sepakan penalti.