Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Bagi menambah khazanah rujukan sejarah Pendidikan Ugama di negara ini, Jabatan Pengajian Islam (JPI) Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melakar sejarah dengan menerbitkan sebuah buku khas berjudul Suluh Darussalam: Sekolah-sekolah Ugama di Negara Brunei Darussalam yang mengandungi sejarah penubuhan sekolah-sekolah agama di negara ini.
Hadir bagi menyempurnakan majlis pelancaran buku berkenaan di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah petang tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis pelancaran buku berkenaan bersempena mengambil sukut baik bagi memperingati Ulang Tahun Pelaksanaan Pendidikan Ugama Formal di Negara Brunei Darussalam yang ke-68 tahun.
Penerbitan buku berkenaan bertujuan untuk menyediakan satu sumber rujukan komprehensif yang boleh diguna pakai dalam kajian-kajian golongan akademik dan masyarakat awam. Penerbitan buku tersebut juga adalah bagi meraikan pencapaian JPI dalam memperkasa Pendidikan Ugama di negara ini.
Menurut Pengarah Pengajian Islam, KHEU, Haji Shamshol bin Haji Omar, selaku pengerusi majlis berkata, secara umumnya, objektif majlis adalah sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kejayaan JPI dalam menerbitkan buku Suluh Darussalam: Sekolah-sekolah Ugama Di Negara Brunei Darussalam; dan meraikan dan menghargai semua pihak yang terlibat secara langsung dalam proses kerja penerbitan buku ini; dan sebagai platform pembarigaan kepada warga KHEU khasnya dan masyarakat awam amnya.
Suluh bermaksud sesuatu yang digunakan untuk menerangi. Kalimah ini sangat signifikan dan menepati peranan sekolah agama sebagai pusat ilmu dan tempat pembelajaran imu-ilmu keagamaan yang dihasratkan dapat membimbing masyarakat untuk memahami dan mengamalkan syariat islam dengan cara yang betul dan teratur.
Terbinanya sekolah agama di negara ini, Brunei Darussalam diibaratkan sebagai suluh yang menerangi murid-murid khususnya dan masyarakat amnya dengan pancaran cahaya ilmu agama demi mengukuhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Melalui pelaksanaan sistem persekolahan agama secara formal, pembelajaran ilmu-ilmu keagamaan dihasratkan mampu melahirkan murid-murid yang berpengetahuan, berkepandaian dan berpendidikan agama serta berakhlak mulia. Dengan pendekatan sedemikian, ia juga diharap menjadi salah satu asbab bagi sumber keberkatan yang telah dinikmati oleh rakyat dan penduduk di negara ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji lbrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Dr Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh; dan Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Majlis turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan KHEU, pengetua-pengetua dan guru-guru besar sekolah-sekolah arab dan agama di seluruh negara.