Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPJ Sibu sita enam kenderaan mewah dalam Ops Luxury

    SIBU, 29 OGOS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu menyita enam kenderaan mewah atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sah serta tiada perlindungan insurans menerusi Ops Luxury yang diadakan di bandar ini sejak awal bulan ini.

    Ketua Cawangannya, Pegawai Penguatkuasa Kanan, Nurul Fairezzah Safri berkata kenderaan yang disita terdiri daripada dua Toyota Velfire serta masing-masing sebuah Toyota Land Cruiser, Toyota Crown Royale, Toyota Camry dan Mercedes Benz.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata operasi itu menyasarkan kenderaan mewah yang masih digunakan di jalan raya walaupun LKM telah tamat tempoh sah serta tiada perlindungan insurans.

    “Malah ada kenderaan yang LKM tamat tempoh sah dan tidak diperbaharui selama beberapa tahun. Mana-mana kenderaan mewah yang didapati beroperasi tanpa LKM dan insurans sah akan disita serta-merta dan kes tidak boleh dikompaun. Pemandu serta pemilik akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

    Beliau menegaskan JPJ akan terus mengadakan operasi mengesan kenderaan mewah di bandar ini yang masih digunakan tanpa memperbaharui LKM, selain tidak berkompromi dengan mana-mana pemilik. – Bernama

    Salah sebuah kenderaan mewah yang disita dalam Ops Luxury yang dilaksanakan di Sibu awal bulan ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda