Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Ceramah Khas sempena Maulud Nabi Muhammad SAW di Dewan Bankuet, Bangunan JPM.
Hadir selaku tetamu khas pada majlis tersebut, Pemangku Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.
Turut hadir timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap, pemangku setiausaha tetap, pemangku timbalan setiausaha tetap, para jemputan khas, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai dan kakitangan JPM serta jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash-Shaliheen, Haji Mohammed Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, manakala bacaan ayat-ayat suci Al-Quran diketuai oleh siswa Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Zainal Mustapa bin Jaluddin.
Majlis diteruskan dengan ceramah khas bertajuk Memelihara Akal Berpandukan Sunnah Rasulullah SAW yang disampaikan oleh penceramah undangan, Penolong Pegawai Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Muhammad Syahirul Syafiq bin Rashid.
Dalam ceramah, beliau antara lain menekankan kepentingan memelihara akal berpandukan Sunnah Rasulullah SAW, yang merupakan anugerah yang sangat berharga daripada Allah SWT.
“Oleh itu, adalah sangat berharga dan wajib dipelihara dengan menerapkan nilai-nilai murni dan ilmu pengetahuan sepertimana yang diperintahkan oleh Allah SWT,” jelasnya.
Acara turut diserikan dengan persembahan Dikir Syarafil Anam yang dibawakan oleh Pasukan Dikir Lelaki Polis Diraja Brunei.
Majlis yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Tenaga di JPM, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Penyelidikan Brunei itu merupakan salah satu aktiviti tahunan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi sama-sama menyemarakkan dan memeriahkan lagi sambutan hari kebesaran Islam di samping meraih syafaat daripada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.