Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Sempena memperingati peristiwa Israk dan Mikraj, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Israk dan Mikraj yang dianjurkan oleh Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat bersama Sekretariat Jawatankuasa Keselamatan Negara.
Majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Dewan Majlis, di sini itu telah dihadiri Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Turut hadir ialah Pemangku Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar; Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh dan Timbalan Menteri di JPM, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh wakil Pasukan Polis Diraja Brunei, PC 5849 Awang Ahmad Raihaan bin Mudim Matassim. Kemudian, majlis diserikan lagi dengan ceramah khas bertajuk ‘Sayang Nabi kepada Umat’ oleh penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Isham bin Ismail.
Awang Isham antara lain menyentuh mengenai sejarah dan peristiwa agung yang berlaku semasa Israk dan Mikraj serta pengajaran dan peringatan yang boleh diambil oleh umat Islam termasuk gambaran peristiwa Israk dan Mikraj yang diceritakan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W, mencontohi segala sifat Nabi Muhammad S.A.W dan menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran dan teladan hidup.
Selain itu, beliau juga memberitahu bahawa kita bukan sahaja mendengar cerita peris-tiwa tersebut bahkan memahami moral dalam cerita dan mencontohinya, bukti kasihnya Rasulullah kepada kita.
Majlis itu merupakan acara tahunan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya yang juga bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan warga JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya di samping memperingati peristiwa Israk dan Mikraj junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.

