Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan Majlis Sungkai Kasih Ramadan bersama kakitangan dan pelajar-pelajar berkeperluan khas dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Bengkurong kelmarin.
Hadir selaku tetamu-tetamu khas majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah para timbalan menteri, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua jabatan, pegawai dan kakitangan di Jabatan Perdana Menteri serta Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam,
Majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil dan Doa Selamat yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Ash-Shaliheen, Haji Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran sebelum diteruskan dengan penyerahan derma dan cenderahati kepada 50 orang pelajar yang disampaikan oleh tetamu-tetamu khas.
Pada majlis berkenaan, tetamu-tetamu khas juga telah menyampaikan sumbangan khas kepada wakil Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Majlis seterusnya diserikan dengan acara berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar Pusat Ihsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan diikuti sesi ramah mesra antara tetamu-tetamu khas dan para jemputan bersama para pelajar dan kakitangan dari pusat berkenaan.

Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah program JPM in the Community yang bertujuan meningkatkan penglibatan warga Jabatan Perdana Menteri dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan membantu komuniti yang memerlukan.
Semua di atas: Antara yang menerima sumbangan dan cenderahati daripada tetamu kehormat. – GAMBAR-GAMBAR OLEH JAMES KON