Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Sempena Hari Perkhidmatan Awam kali ke-32, Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan Majlis Bertahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.
Majlis berkenaan adalah khusus bagi ayahanda dan bonda serta anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Hadir pada majlis itu ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-32, Tahun 2025.
Juga hadir, Timbalan Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; Timbalan Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-undang), Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Timbalan Menteri di JPM (Tenaga), Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Perkhidmatan Awam ke-32.
Turut hadir, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kerajaan.
Mengetuai bacaan tahlil di majlis berkenaan ialah Imam Tingkat I, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Khairul Ariffin bin Haji Yusop.



