Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Dalam usaha untuk memupuk kefahaman dan penghayatan di setiap lapisan masyarakat bagi memastikan semua pihak akan berganding bahu dalam sama-sama menjayakan Wawasan Brunei 2035, Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah melancarkan buku bacaan dan video promosi Wawasan Brunei 2035 pada majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku timbalan pengerusi bersama Majlis Tertinggi Wawasan Brunei; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap serta jemputan khas.
Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyempurnakan pelancaran buku-buku bacaan Wawasan Brunei 2035 bagi sekolah rendah dan menengah diikuti dengan penyerahan buku-buku bacaan berkenaan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti kepada Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah.
Penerbitan dua buah buku bacaan bagi peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah itu adalah untuk memberikan kefahaman kepada pelajar-pelajar akan peranan dan tanggungjawab ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.


Buku-buku berkenaan telah direka khas dengan kerjasama Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Buku-buku itu akan diagihkan kepada sekolah-sekolah rendah dan menengah serta perpustakaan-perpustakaan di seluruh negara dan e-book akan diterbitkan di laman sesawang Wawasan Brunei 2035.
Majlis kemudian menyaksikan pelancaran video promosi Wawasan Brunei 2035 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.
Video promosi terbitan sebuah syarikat media tempatan itu memberikan gambaran dan pesanan utama berkenaan dengan wawasan 2035 terutama sekali mengenai tiga matlamatnya.
Video-video berkenaan akan dimainkan melalui saluran-saluran televisyen kerajaan serta media sosial pihak kerajaan.