BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Bagi menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Hijrah 1447, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1447 dengan tema Semarak Hijrah Mencapai Kecemerlangan Yang Mampan bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan JPM hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir, timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap, pemangku setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, para jemputan khas, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Ash-Shaliheen, Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.
Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar Tahun 3, Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Keusahawanan Digital), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdussyakur bin Haji Jahari dan intisari oleh pelajar Tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama Seri Begawan (Pendidikan Islam), KUPU SB, Awang Muhammad Nur Razin bin Rosli.
Majlis turut disemarakkan dengan ceramah khas bertajuk Hijrah Rasulullah SAW: Model Kepimpinan Berintegriti dan Berwawasan, yang disampaikan oleh Penolong Profesor dari KUPU SB, Dr Noralizam bin Haji Aliakbar.
Seterusnya, majlis disempurnakan dengan Selawat Tafrijiyyah yang dipimpin oleh pegawai dan kakitangan dari Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis pada tahun ini dikendalikan bersama oleh Jabatan Tenaga di JPM, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat dan Jabatan Audit.
Ianya merupakan salah satu aktiviti tahunan JPM untuk memuliakan acara-acara kebesaran Islam, di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan.