Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Dalam meningkatkan prospek pengeluaran sektor huluan, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam (PA) terus mengutamakan persepaduan dengan semua pihak bagi memastikan operasi yang optimum dalam jangka masa yang pendek dan bagi jangka masa sederhana serta panjang, untuk mempertingkatkan kebolehlaksana-an projek-projek pemajuan padang dan aktiviti-aktiviti penerokaan.
Ke arah mendukung usaha-usaha itu, Jawatankuasa Pandu Pertumbuhan Huluan telah ditubuhkan bagi pendekatan yang lebih berintegrasi yang boleh mempercepatkan
pelaksanaan.
Pada 2023, projek pemajuan baharu iaitu Projek Salman telah mula menghasilkan minyak pertama dan pengeluaran telaga-telaga baharu juga berjaya dipercepatkan, jelas Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam pembentangan peruntukan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya pada hari ke-12 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Sementara itu, dalam memajukan sektor hiliran, Perjanjian Pelaksanaan bagi Projek Kemajuan Pulau Muara Besar Fasa Kedua telah ditandatangani pada November 2023 antara pihak PA dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) bersama pihak Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd bagi memperkembangkan sektor hiliran minyak dan gas di negara ini, ke arah mendukung serta merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Tindakan Ekonomi Negara Brunei Darussalam.
“Fasa kedua ini dijangka akan mula beroperasi pada 2029, dan akan menumpukan kepada produk-produk baharu hiliran yang mempunyai nilai yang lebih tinggi yang boleh menambah lagi produk-produk seterusnya bagi perkembangan kegiatan hiliran lanjutan.”
Tambah Yang Berhormat Pehin, “Ini akan mengukuhkan lagi nilai rantaian bekalan sektor hiliran dan secara tidak langsung, mengukuhkan lagi kedudukan keterjaminan tenaga negara dengan terus memainkan peranan sebagai pembekal sulung rasmi negara bagi membekalkan produk-produk petroleum seperti gasolin, diesel dan Jet-A1, dan yang bakal dikeluarkan iaitu LPG, yang mana produk-produk ini memenuhi piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dari segi kualiti produk, kesihatan, keselamatan dan alam sekitar
(HSE).”
Fasa kedua itu, jelasnya, dijangka akan meningkatkan lagi peluang-peluang pekerjaan dan perusahaan baharu bagi anak-anak tempatan.