Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) perubatannya, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dalam meraikan Ulang Tahun Jubli Perak ke-25, dengan kerjasama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menyediakan sokongan perubatan bagi penduduk kampung pedalaman sebagai sebahagian daripada aktiviti minda dan jantung.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPMC, di sini, menerusi aktiviti kebajikan tersebut, kira-kira 70 orang ahli jawatankuasa dan sukarelawan dari JPMC dan ABDB telah menyumbangkan masa dan usaha mereka di Kampung Melilas untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan asas, pemeriksaan dan rawatan gigi serta memberikan latihan pertolongan kecemasan oleh jurulatih pertolongan kecemasan bertauliah kepada penduduk kampung dari Kampung Melilas serta kampung-kampung sekeliling.
JPMC berharap melalui aktiviti tersebut ia akan mempengaruhi pihak lain untuk tampil ke hadapan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.
Pada masa yang sama, ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran bagi penduduk Kampung Melilas mengenai pentingnya untuk mengekalkan pengetahuan dan kesihatan yang baik serta langkah-langkah pertolongan kecemasan yang diperlukan jika berlaku sebarang kecemasan perubatan.
Di akhir lawatan berkenaan, cenderahati telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Perubatan JPMC, Dr Muhd Hiza Wardy bin Haji Abdul Halim yang juga pengerusi CSR kepada Ketua Perkhidmatan Pergigian ABDB, Kolonel Dr Jefri bin Haji Abdul Razak selaku wakil ABDB dan Pemangku Ketua Kampung Melilas, Haji Muhd Yassin Abdul sebagai tanda penghargaan daripada JPMC atas sumbangan mereka menjayakan acara berkenaan.