Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPMC anjur hari terbuka

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) akan menganjurkan hari terbuka sempena Hari Jururawat Antarabangsa pada 11 Mei sebagai menghargai sumbangan mereka dan profesional kesihatan yang lain dalam penjagaan kesihatan.

    Pada Hari Terbuka JPMC itu, selain menderma darah dan mendengar ceramah kesihatan, orang ramai juga berpeluang membuat pemeriksaan BMI, tekanan darah dan ujian glukosa secara percuma. Di samping itu, perkhidmatan JPMC juga akan dipamerkan melalui gerai dan pameran klinikal.

    Acara JPMC tahun ini bakal diserikan dengan beberapa siri aktiviti menarik untuk merevolusikan industri kesihatan bagi mendidik dan menyediakan perspektif bagaimana hospital beroperasi untuk semua orang. JPMC juga menyediakan pelbagai studio penjagaan kesihatan untuk menghibur dan mendidik orang dari semua peringkat umur.

    Di samping itu, Jabatan Pesakit Luar, yang memainkan peranan penting di hospital akan memaparkan bagaimana mereka memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada orang ramai. Studio Teater Operasi juga bakal menyerikan Hari Terbuka JPMC dengan menampilkan keselamatan pesakit dalam persekitaran pembedahan dan peralatan yang digunakan semasa pembedahan.

    Pada hari itu juga, wad umum akan dibuka sepanjang hari untuk lawatan, di mana orang ramai dapat berinteraksi dengan jururawat dan melihat sendiri bagaimana mereka memberikan pengalaman yang selamat dan positif kepada para pesakit

    Sebahagian daripada studio penjagaan kesihatan akan merangkumi lawatan di sekitar ambulans yang ditempatkan di kawasan perkumpulan untuk hiburan dan pendidikan kanak-kanak agar mereka biasa dengan ambulans dan peranan setiap kakitangan semasa kecemasan.

    Bagi pelajar dan siswazah yang berminat mengejar profesion dalam bidang kejururawatan, Hari Terbuka JPMC ini merupakan peluang kepada mereka untuk bertemu peserta pameran dan mendapatkan maklumat mengenai laluan kerjaya dalam bidang berkenaan.

    Orang ramai dijemput datang tanpa sebarang bayaran, bagaimanapun, kupon akan dijual untuk pelbagai jenis permainan dan aktiviti, di mana hasil kutipannya akan digunakan untuk tujuan amal.

    Semasa Hari Terbuka JPMC itu nanti, orang ramai juga dijemput untuk ‘Acara Amal Spinning’ JPMC bagi memperkenalkan seni berbasikal basikal canggih yang memberi tumpuan kepada daya tahan, kekuatan dan selang latihan sambil beramal kepada pengunjung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda