Saturday, February 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPMC, Bersih Solutions bantu bersihkan rumah pesakit

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Sebagai usaha untuk memperbaiki keadaan kehidupan pesakit-pesakit kurang bernasib baik di bawah jagaannya, bahagian Medical Social Work (MSW) daripada Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dengan kerjasama syarikat Bersih Solutions Sdn Bhd mengadakan Kempen Membersihkan Rumah Pesakit bagi memastikan mereka menetap dalam persekitaran yang sihat, selamat dan bersih.

    Kempen yang berjalan selama dua hari berkenaan, menumpukan kepada membersihkan rumah-rumah pesakit yang memerlukan. Kempen itu disertai oleh Ketua Pegawai Perubatan JPMC, Dr Meera Sahib Kabeer bersama-sama pengurusan kanan JPMC termasuk Dr Haji Muhd Syafiq Abdullah dan Chris Carvalho serta Pengarah Perkhidmatan Perubatan Am JPMC, Dr Muhd Hiza Wardy bin Haji Abdul Halim di mana mereka mengetuai kumpulan sukarelawan yang terlibat.

    Kempen berkenaan turut disertai pihak pengurusan Bersih Solutions Sdn Bhd iaitu Pengasas Bersama merangkap Pengurus Pemasaran, Ahmad Fitri dan Pengasas Bersama merangkap Pengurus Operasi, Mohammad Khairul Hazwan.

    Kerjasama berkenaan menggariskan pendekatan JPMC dalam melibatkan masyarakat dan rakan-rakan kongsinya dalam menangani keperluan meluas pesakit memastikan kesejahteraan mereka melangkaui daripada hanya penjagaan perubatan.

    Matlamat utama kerjasama berkenaan adalah untuk meningkatkan keadaan kehidupan pesakit di bawah penjagaan MSW JPMC. Dengan membersihkan kediaman mereka, kempen itu memastikan para pesakit dapat menumpukan kepada pemulihan mereka dalam persekitaran yang lebih selesa dan lebih sihat.

    Menerusi kerjasama dengan pembekal perkhidmatan pembersihan profesional, Bersih Solutions Sdn Bhd, JPMC berusaha untuk menjana persekitaran kehidupan yang lebih selesa dan sihat bagi pesakit-pesakitnya yang kurang bernasib baik.

    Atas & Bawah: Antara aktiviti pembersihan yang dijalankan semasa kempen berkenaan.

    Sesi bergambar ramai antara yang terlibat dalam kempen berkenaan bersama pesakit yang dibantu. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JPMC 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda