Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Gleneagles JPMC (GJPMC) telah menerima kunjungan hormat dari Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, kelmarin.
Sebaik tiba, TYT Lawrence Wong telah disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar selaku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC); serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, selaku Pengerusi Gleneagles JPMC.

Rombongan dari Republik Singapura yang mengiringi TYT Lawrence Wong terdiri Tuan Yang Terutama Chee Hong Tat, Menteri Pembangunan Negara; Tuan Yang Terutama Dr. Koh Poh Koon, Menteri Negara Kanan, Kementerian Kesihatan & Kementerian Tenaga Manusia; Puan Yang Terutama Jasmin Lau, Menteri Negara, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital & Kementerian Pendidikan; Ms. Goh Hanyan, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia & Kementerian Kemampanan dan Sekitaran; Dr. Syed Harun Alhabsyi, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pendidikan & Kementerian Pembangunan Negara; dan Tuan Yang Terutama Laurence Bay, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam.
Menteri-menteri kabinet yang turut hadir semasa lawatan tersebut, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Menteri Pengiring, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.



Antara lain tujuan lawatan tersebut adalah untuk meninjau secara langsung kemudahan penjagaan kesihatan dan rawatan, di samping memahami pelbagai perkhidmatan perubatan dan kepakaran yang disediakan di JPMC serta rawatan jantung di Gleneagles JPMC.
TYT Lawrence Wong dan rombongan telah diberikan taklimat mengenai Pusat Perubatan Jerudong Park, Gleneagles JPMC, dan pembentangan bertajuk Perintis Transformasi Kesihatan Berteraskan Rakyat di Negara Brunei Darussalam (Pioneering Citizen-centric Health Transformation in Brunei Darussalam”.
TYT kemudian berpeluang mengadakan lawatan ke kemudahan moden JPMC yang berpusat di Brunei Neuroscience Stroke and Rehabilitation Centre (BNSRC) dan The Brunei Cancer Centre (TBCC), khususnya ke Bilik Terapi Robotik dan Jabatan Perubatan Nuklear.
Lawatan diteruskan ke Gleneagles JPMC, di mana TYT melawat Makmal Kardiovaskular hospital yang dilengkapi dengan teknologi imejan ‘biplane’ terkini, serta berinteraksi dengan para doktor dan kakitangan.
Lawatan hormat ini menekankan kepentingan pertukaran amalan terbaik dalam perkhidmatan perubatan khusus, menangani cabaran kesihatan awam yang dikongsi bersama, serta memupuk inovasi dalam bidang penjagaan kesihatan di rantau ini.
Ia juga menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan sedia ada antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dalam industri penjagaan kesihatan.

