Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    JPMC hulur $250,000 sebagai usaha kolaboratif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Kementerian Kesihatan menerima cek berjumlah $250,000 bagi usaha kolaboratif dengan Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) Sdn Bhd pada majlis yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Usaha kolaboratif berkenaan merupakan kesinambungan kerjasama swasta awam (PPP) yang telah dilaksanakan pada 2019 antara Kementerian Kesihatan dan Gleneagles JPMC Sdn Bhd.

    Pada majlis itu, cek disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay dan diterima oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif.

    Terdahulu sebelum penyerahan cek berkenaan, majlis menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara kedua-dua orang pegawai kanan berkenaan.

    Hadir semasa majlis berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar. Turut hadir ialah setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Kesihatan.

    Dr Peter Tay (dua dari kiri) menyerahkan cek berjumlah $250,000 kepada Dr Haji Zulaidi (dua dari kanan) dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham (tengah).

    Di bawah MoU berkenaan, Gleneagles JPMC Sdn Bhd akan membiayai tiga buah program utama yang akan dilaksanakan oleh Pusat Promosi Kesihatan.

    Ketiga-tiga program berkenaan bermatlamat untuk meningkatkan kesihatan warga Brunei khususnya di tempat kerja dan persekitaran masyarakat.

    Program tempat kerja dan kesihatan berkenaan menggalakkan tempat-tempat kerja untuk menyediakan persekitaran dan tindakan yang menyokong bagi para pekerja untuk lebih aktif, memakan makanan sihat, bebas asap dan mempunyai kesejahteraan mental yang baik.

    Sementara itu, Program Gaya Hidup dan Persekitaran Gembira dihasratkan untuk memudahkan dan menyokong intervensi aktiviti fizikal dalam persekitaran masyarakat yang memanfaatkan kerjasama serta rangkaian dengan komuniti setempat, sekolah, perniagaan, pusat kesihatan dan pihak yang berkepentingan rekreasi dan sukan yang lain.

    Program ketiga iaitu Program Gaya Hidup Sihat adalah tambahan baharu bagi melengkapi kedua-dua program yang terdahulu dalam meningkatkan kesedaran mengenai faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit khususnya pemakanan tidak sihat dan merokok yang merupakan faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular.

    MoU itu juga menggariskan komitmen kedua-dua buah agensi dalam mengukuhkan dan memastikan usaha sedia ada bersinergi ke arah mempromosikan gaya hidup yang sihat dan terus menyokong inisiatif-inisiatif untuk mencegah serta mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda