Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Tahun ini, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) sekali lagi memberi sumbangan kepada masyarakat yang dihulurkan ke seluruh daerah di negara ini.
Memandangkan Donation Drive tahun ini adalah sebahagian daripada sambutan Ulang Tahun Jubli Perak ke-25, JPMC telah menghulurkan sumbangan kepada 25 buah keluarga yang memerlukan sokongan, termasuk golongan kurang berkemampuan, anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU).
Pengagihan sumbangan berjaya diselesaikan dalam masa sehari ke seluruh negara dan disertai oleh pihak pengurusan kanan, pengurus dan kakitangan JPMC.
Majlis tersebut dijayakan melalui sokongan JPMC dan sumbangan budi pekerja dalam bentuk wang dan sumbangan barangan dalam bentuk barangan keperluan harian seperti minyak masak, beg beras, makanan kering dan banyak lagi.
Sejak bermulanya pandemik, banyak perubahan telah berlaku dalam kehidupan seharian kita, tetapi mereka yang memerlukan akan terus memerlukan bantuan. Oleh itu, JPMC berharap sumbangan tersebut dapat membantu keluarga tersebut menjadikan Ramadan dan Aidilfitri sebagai sambutan yang bermakna buat mereka tahun ini.