BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Bersempena Hari Bumi Sedunia yang membawa tema ‘Lindungi Spesies Kita’, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) melaksanakan inisiatif kitar semula.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JPMC, inisiatif berkenaan mengumpulkan lebih 700kg bahan-bahan kitar semula yang termasuk akhbar-akhbar lama, kotak-kotak kadbod dan majalah-majalah lama yang dikumpulkan dari setiap jabatan. Bagi inisiatif berkenaan, JPMC telah bekerjasama dengan syarikat kitar semula tempatan, Daikyo Environmental Recycling Sdn Bhd.
Kenyataan menyatakan, dengan mengitar semula bahan-bahan kertas dapat memulihara sumber-sumber semula jadi, menjimatkan tenaga dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.
Inisiatif-inisiatif seumpamanya juga mengurangkan keperluan bagi bahan-bahan asli untuk membantu melindungi hutan hujan yang merupakan rumah kepada spesies-spesies hidupan liar.
JPMC dalam kenyataannya menggalakkan semua orang untuk melaksanakan inisiatif hijau yang membantu mewujudkan bumi mapan untuk kualiti hidup lebih baik setiap makhluk di planet ini dan JPMC menyatakan komitmennya untuk terus mengurangkan pembaziran dan kekurangan ekologi.
